Proton pertama kalinya menawarkan kenderaan dari segmen SUV menerusi model Proton X70 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pada Pameran Permotoran Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2018 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 23 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Proton X70 terus menjadi pemangkin utama bagi pemulihan Proton Holdings Bhd dalam pasaran kenderaan tempatan sejak kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dikagumi itu diperkenalkan kira-kira empat tahun lepas.

X70, model pertama yang dihasilkan selepas penggabungan dengan Zhejiang Geely Holding Group yang berpangkalan di China menerusi pembelian 49.9 peratus kepentingan dalam Proton, telah mencetuskan minat mendalam bagi kalangan pembeli kereta di seluruh negara apabila ia mula dikeluarkan dan sehingga kini.

Dijual pada harga yang jauh lebih berpatutan berbanding jenama SUV lain di negara ini, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata X70 telah mengembalikan keyakinan kepada jenama Proton.

“Masa kita pergi ke Geely (China), ada beberapa model yang kita pilih dan masa itu kita tengok yang tengah hangat di pasaran (China) adalah (kenderaan jenis) SUV seperti HR-V dan CR-V. DI peringkat global, kita mendapati semua pelanggan sedan telah beralih kepada SUV.

“Berdasarkan permintaan demikian, X70 adalah antara model yang terdapat di Geely dan sesuai dengan kenderaan segmen-D dengan harga yang berpatutan. Bagi saya, satu situasi yang agak tidak bernasib baik bagi Proton adalah setiap produk yang ada logo Proton, orang akan berharap harganya murah. Begitulah Proton bermula pada 1985,” katanya kepada Bernama.

Proton X70 kini menghampiri ulang tahun keempat pelancarannya pada 12 Disember.

Roslan berkata, pembuat kereta nasional itu akhirnya dapat menentukan harga yang boleh diterima oleh kalangan pelanggan di Malaysia.

“Model ini juga antara model terlaris di China pada masa itu. Jumlah (X70) yang terjual di China adalah lebih 600,000 unit bagi tempoh 2016 hingga 2018.

“X70 membawa kembali keyakinan pelanggan kepada Proton. Sebelum X70, ramai (pelanggan Proton) yang boleh dikatakan sudah berputus asa dengan Proton dan beralih kepada jenama lain,” katanya.

Beliau berkata sebelum X70 dilancarkan, bukan sahaja tahap keyakinan pelanggan sahaja yang menurun malah juga keyakinan kalangan pengedar.

“Pada masa itu, apa sahaja produk Proton yang ingin dijual, perlu disertakan diskaun, barulah produk boleh jual.

“Tapi apabila kita bawa pengedar kita ke China untuk model X70 ini, keyakinan mereka (terhadap Proton) naik semula, kerana SUV adalah model yang sedang meningkat dan paling hangat di Malaysia pada masa itu,” katanya.

Kembalinya pelanggan adalah disebabkan X70 yang meningkatkan angka jualan Proton, melebihi paras 100,000 pada 2019 berbanding 64,744 unit yang dijual pada tahun sebelumnya.

Jualan berterusan berada pada trajektori meningkat sejak itu, dengan Proton merekodkan 109,716 kenderaan pada 2020, dan 114,708 pada 2021.

Bagi Januari hingga Oktober 2022, Proton telah melepasi jualan setahun penuh 2021 iaitu pada 115,366 unit.

“Kita bawa masuk kereta SUV pada harga yang berpatutan namun, apa kelebihan yang kita ada (berbanding model SUV lain)?. Jadi, pada masa itulah kita mula dengan teknologi kesambungan “Hi Proton”. Pada masa itu, kalau kita tengok (jenama seperti) Tesla atau jenama lain, mereka juga berbincang mengenai kesambungan.

“Selain itu, kami mempunyai ciri buka dan tutup menggunakan telefon pintar. Kalau X50, anda juga boleh hidupkan enjin menggunakan teknologi kesambungan. Ia adalah antara kelebihan yang kita bawa dari X70,” katanya.

Mengenai penambahbaikan dan penyesuaian yang dilakukan oleh Proton sebelum membawa X70 ke dalam pasaran tempatan, Roslan berkata proses itu tidak semudah seperti menukar pemanduan sebelah kiri kepada sebelah kanan atau menggantikan logo Geely dengan Proton seperti anggapan ramai orang.

“Kita juga perlu memahami tingkah laku pemanduan rakyat Malaysia dan kita menentukan model bagi hala tuju nasional. Apabila kita sentuh mengenai iklim tropika di Malaysia yang berbeza dengan China, kita harus sesuaikan dengan bahan yang digunakan untuk dalaman kereta.

“Kita juga melaraskan semula sistem ampaian X70 ini mengikut keadaan jalan raya di Malaysia. Proton, seperti yang kita tahu, dikenali dengan teknologi pengendalian kanan daripada Lotus, jadi wajarlah untuk Proton merangkumkan teknologi itu dalam model ini,” katanya.

Bermula 2019, di tengah-tengah publisiti intensif  X70, Roslan berkata Proton juga melancarkan satu siri versi wajah baharu untuk hampir semua model Proton yang lain, seperti Saga, Exora, Persona dan Iriz.

“Disebabkan oleh model X70, permintaan untuk semua model wajah baharu yang kita lancar pada 2019 itu juga turut meningkat, seperti model Saga wajah baharu. Bagaimanapun, kita mengalami sedikit masalah untuk Saga berikutan komponennya tidak boleh sampai tepat pada masanya buat masa ini.

“Permintaan untuk model Persona dan Iriz wajah baharu yang dilancarkan pada 2021 juga meningkat kira-kira 27 peratus, dipacu oleh teknologi “Hi Proton” yang diperkenalkan dalam model X70. Model X70 ini telah meningkatkan keyakinan pembeli, sehinggakan baru sahaja umum untuk melancarkan X50, kami semasa pelancaran awalnya sudah dapat tempahan untuk 20,000 unit,” katanya.

Roslan berkata Proton X70 telah melalui beberapa penambahbaikan dan peningkatan sejak 2018, untuk memastikan model itu kekal menarik kepada bakal pembeli.

“Sebagai permulaan kita ada kumpulan pertama model CBU. Pada 2020, kita memperkenalkan X70 dengan transmisi dwicekam tujuh kelajuan (7-CT), sebelum ini (model CBU) dengan transmisi enam kelajuan tork automatik,” katanya.

Beliau berkata Proton juga telah menaik taraf kepada sistem peta baharu, berdasarkan aduan yang diterima mengenai sistem lama.

“Yang terbaru, kita melancarkan model X70 dengan enjin 1.5 liter turbo 3-silinder, enjin yang sama kita pasang pada X50.

“Orang mungkin melihat ini sebagai satu tindakan turun taraf bagi X70, namun sebenarnya, enjin ini membuatkan Proton X70 lebih lancar berbanding model sebelum ini, di samping jimat minyak dan cukai jalan yang lebih murah,” katanya.

Roslan berkata pengenalan enjin 1.5 TGDI juga menandakan langkah seterusnya dalam perjalanan transformatif Proton memandangkan ia dihasilkan di barisan pemasangan enjin berteknologi tinggi serba baharu di Tanjung Malim.

“Enjin itu juga digunakan oleh Volvo dan Geely dan ini adalah pertama kali ia dikeluarkan di luar China, sekali gus membuktikan rakyat Malaysia mempunyai keupayaan untuk membina produk yang sangat maju menepati piawaian kualiti global.

“Keputusan untuk membuat pelaburan ke atas barisan pemasangan baharu ini tidak mungkin berlaku tanpa kejayaan X70 dan secara tidak langsung, model ini turut membantu membawa teknologi baharu dan melatih generasi baharu jurutera automotif Malaysia yang kini bekerja di sana,” katanya.

Mengenai pembekalan alat ganti, Ketua Proton Parts Centre Sdn Bhd, Noor Suzanah Samsudin berkata sejak perintah sekatan pergerakan, pihaknya telah mula melaksanakan dasar stok tiga bulan untuk pengedar 3S dan 4S di seluruh negara bagi memastikan bekalan tidak terganggu pada masa hadapan.

“(Jadi) kami telah memulakan dasar untuk pengedar 3S dan 4S mempunyai sekurang-kurangnya stok tiga bulan untuk 22 komponen paling laris, yang merupakan bahagian untuk rutin servis biasa supaya setiap pelanggan yang datang tidak menghadapi sebarang masalah untuk servis kenderaan mereka.

“Selain itu, kami juga perlu bersedia. Seperti juga pengedar, kami juga menyimpan stok tiga bulan. Bagaimanapun, keadaan ini boleh menjadi cabaran untuk kami memperoleh bekalan yang konsisten daripada pembekal serta untuk kami menyerahkan alat ganti dengan cepat kepada pengedar. Kami perlu melakukan yang terbaik dari segi kepantasan dan ketepatan,” katanya.

Beliau berkata bagi Sabah dan Sarawak, Proton kini sudah mempunyai dua pusat alat ganti di Kuching dan Kota Kinabalu selain telah meningkatkan bilangan penghantaran ke kedua-dua negeri itu.

“Baru-baru ini, kami membuka gudang baharu di Kuching, iaitu kira-kira tiga kali ganda lebih besar daripada gudang sekarang. Di situlah kami boleh memulakan pengedaran dan pembekalan alat ganti yang lebih baik di sana,” katanya.

Roslan berkata gangguan bekalan itu tidak dapat dielakkan.

“Kita tidak boleh hantar barang dan antara paling terkesan apabila kita sedang melakukan penambahbaikan, Shanghai pula melaksanakan sekatan. Lepas sekatan di Shanghai ditarik balik, kami menerima kira-kira 40 kontena sekali gus. Lazimnya, kita hanya terima dalam dua, tiga kontena seminggu.

“Sebab kita melaksanakan peraturan stok tiga bulan kerana kita tidak tahu situasi di negara kita dan China pada masa hadapan. Kita masih lagi berusaha untuk menambah baik dari semasa ke semasa,” katanya.

Roslan berkata dengan X70, Proton berjaya mencatatkan pemulihan dalam pasaran automotif tempatan dan mewujudkan peluang pekerjaan yang besar, terutama untuk kumpulan bakat tempatan, serta membangunkan beberapa kawasan luar bandar seperti Tanjung Malim di Perak.

“​Matlamat asal Proton bukan sahaja untuk membangunkan dan menjual kereta malah juga untuk membantu mengubah ekonomi dengan memberi mobiliti kepada rakyat Malaysia dan memajukan ekosistem automotif.

“Kami tidak berganjak daripada matlamat itu dan dengan X70, apa yang kami lakukan di sini adalah memberi pelanggan kami pilihan untuk bermula dengan kereta Proton dan berakhir juga dengan kereta Proton,” katanya. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast