Mohd Khairuddin Othman

SHAH ALAM – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh diharap dapat mencari jalan penyelesaian berhubung orang muda yang terpengaruh dengan isu perkauman.

“Kita perlu kawal elemen yang boleh menggugat keselamatan negara,” kata Pengerusi Jawatankuasa Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman.

Mohd Khairuddin dalam satu majlis malam tadi berkata, pihaknya bercadang akan mengadakan perjumpaan dengan Hannah  bagi membincangkan undang-undang khusus melindungi pekerja gig.

Katanya, status pekerja gig terutama berhubung kawal selia aspek perundangan akan diteliti secara komprehensif bersama persekutuan.

“Saya akan jumpa dengan menteri dalam masa terdekat untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu pekerja gig ini kerana belum ada perundangan khusus bagi golongan ini.

“Saya juga akan minta menteri memfokuskan isu generasi muda termasuk mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan beberapa program bersesuaian untuk golongan muda,” katanya lagi.

Selain itu, beliau berkata, pelantikan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd. Halim sebagai timbalan Hannah diyakini dapat memberi inspirasi dalam mendekati anak-anak muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata, kementerian itu yang diterajui orang muda sesuai dengan cita rasa golongan berkenaan.

“Adam Adli mempunyai semangat dan idea muda, saya fikir beliau boleh mendekati serta memberi inspirasi kepada golongan ini melalui pelbagai program,” katanya. – MalaysiaGazette