Mohd Yusri Hassan Basri.

IPOH – Polis sudah mengenal pasti identiti tiga mangsa kemalangan maut di Jalan Kampung Koh-Pantai Remis di Manjung di sini semalam.

Masing-masing mereka merupakan pasangan suami isteri, Mohamad Adam Che Embi, 33; Nur Hamizza Hamdan, 32 manakala anak mereka, Mohamad Aisy Hakim, 2, turut terkorban.

Selain itu, dua lagi anak mereka, Nur Aisyah Umairah, 6, dan Mohamad Hakimi Amsyar, 4, tutut mengalami kecederaan akibat kejadian sama.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan membabitkan dua kereta itu pada pukul 11.07 malam.

“Hasil siasatan mendapati sebuah kereta Proton Saga dari arah Seri Manjung menghala ke Segari bertembung kereta jenis Chevrolet Captiva di lokasi kejadian.

“Akibat pertembungan itu, kereta Chevrolet Captiva yang dipandu seorang wanita berusia 21 tahun terbakar disyaki akibat kebocoran petrol.

“Ketiga-tiga mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat manakala tiga orang lagi mangsa termasuk pemandu kereta berasingan dihantar ke hospital sama bagi menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tiga maut, tiga cedera kemalangan di Sitiawan