Kerajaan Negeri Johor akan melaksanakan dasar berkaitan Malaysia My Second Home (MM2H) tidak lama lagi elak kes rumah tidak dapat dijual - Gambar hiasan,

ISKANDAR PUTERI – Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kerajaan negeri  akan melaksanakan dasar berkaitan Malaysia My Second Home (MM2H) tidak lama lagi.

Ia bagaimanapun akan dikaji semula dalam fokus menyelesaikan isu kediaman tidak terjual di negeri ini.

Untuk perkara itu, katanya, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi mengkaji pelaksanaan dasar berkaitan MM2H.

Menurutnya, enam perkara berhubung perumahan menjadi fokus iaitu rumah mampu milik, program perumahan negeri, dasar perumahan, rejuvensi rumah pangsa negeri, setinggan sifar Johor 2035 dan penyelesaian isu property overhang atau tidak terjual.

“Berhubung isu kediaman tidak terjual kerajaan negeri telah menganalisis data yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) mengenai hartanah tidak terjual di Negeri Johor.

“Dapatan awal hartanah tidak terjual melibatkan pangsapuri perkhidmatan mewah yang menyasarkan segmen pembeli tertentu.

“Namun, data-data yang dikeluarkan masih perlu diperincikan agar penyelesaian boleh dibuat secara tuntas.

“Justeru, kerajaan  negeri akan membentuk task force yang melibatkan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri ( BPEN), Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ), PlanMalaysia dan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar hari ini.

Pada 9 Disember lalu, kerajaan negeri mahu kerajaan Persekutuan menghidupkan semula MM2H bagi mengatasi isu lambakan perumahan mewah tidak terjual di negeri ini.

Dalam pada itu Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, program MM2H itu adalah penyelesaian yang dilihat mampu membuka ruang kepada peserta program itu membeli rumah mewah berharga RM500,000 ke atas yang tidak terjual.

Sebelum ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar  bertitah, kerajaan perlu menyegerakan semakan semula terhadap syarat ketat program berkenaan yang ditetapkan berikutan Johor adalah antara destinasi utama pelaburan asing selain antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.-MalaysiaGazette