Zalina Azman semasa menjadi pembaca berita TV3- Gambar media sosial.

KUALA LUMPUR – Polis sehingga kini telah mengambil keterangan daripada lebih 20 individu termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan bekas personaliti televisyen, Zalina Azman sejak wanita itu dilaporkan hilang lebih setahun lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim ketika dihubungi hari ini berkata, usaha menjejaki dan mengesan Zalina bagi merungkai misteri kehilangannya masih diteruskan.

Malah, katanya, polis tidak pernah menghentikan siasatan dan pencarian personaliti wanita itu yang hilang secara mengejut sejak 24 November 2021.

“Setakat ini polis sudah panggil lebih 20 individu dan mengambil keterangan mereka termasuk ahli keluarga dan rakan kenalan Zalina.

“Bagaimanapun sehingga kini polis masih belum menemui sebarang petunjuk baharu ke arah usaha menjejaki dan mengesan wanita yang masih hilang itu.

“Pun begitu, saya mahu menegaskan polis tidak pernah menutup kes ini sebaliknya misi pencarian Zalina masih terus dipergiatkan dari semasa ke semasa dengan harapan tinggi akan ada petunjuk baharu yang boleh membawa kepadanya,” katanya.

Tambah Mohd Iqbal, siasatan berkenaan turut membabitkan rumah milik Zalina yang terletak di Seksyen 2, Shah Alam Selangor.

Jelas beliau, sehingga hari ini, polis mendapati tiada sebarang sebarang pergerakan keluar masuk mana-mana individu yang telah dikesan di rumah personaliti tersebut.

“Setakat ini, kami dapati tiada sebarang pergerakan keluar masuk atau kehadiran mana-mana individu atau kenalan ke rumah personaliti di sini (Shah Alam).

“Bagaimanapun, polis sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak atau individu yang mempunyai sebarang maklumat terkini tentang kehilangan Zalina bolehlah tampil menyalurkan informasi itu kepada polis untuk membantu siasatan kami dalam misi menjejaki wanita itu.

“Orang awam boleh menghubungi pihak polis atau tampil ke mana-mana balai polis yang berhampiran untuk memberi maklumat baharu tentang Zalina atau bagi membantu siasatan berhubung kes ini,” tegasnya.

Sudah lebih setahun bekas personaliti TV3 itu telah dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya sejak 24 November tahun lepas.

Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam telah mengeluarkan hebahan berkaitan kehilangan bekas personaliti itu pada Julai lalu sebagai menagih bantuan orang ramai dalam usaha menjejaki kedudukan wanita itu yang hilang tanpa kesan.

Hebahan polis itu hadir selepas anak mangsa membuat laporan berkaitan kehilangan ibunya yang didakwa gagal dihubungi sejak 24 November 2021 ketika hendak memaklumkan bahawa datuknya telah dimasukkan ke hospital sebelum laporan polis dibuat pada 29 November lalu untuk tindakan lanjut polis. – MalaysiaGazette