Kenyataan NADMA menunjukkan jumlah mangsa terjejas banjir meningkat kepda 1,436 orang setakat 7 pagi ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bilangan individu yangf terjejas akibat banjir seluruh negara akibat musim tengkujuh kali ini meningkat kepada seramai 1,436 orang setakat seawal pukul 7 pagi hari ini.

Angka itu menunjukkan peningkatan berbanding jumlah mangsa banjir yang direkodkan semalam iaitu seramai 922 orang.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi kenyataan hari ini berkata, sebanyak jumlah itu membabitkan seramai 400 keluarga yang terjejas teruk akibat banjir kali ini.

“Kesemua 400 keluarga terjejas banjir itu mewakili empat buah negeri iaitu Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Justeru sebanyak 10 daerah aktif bencana banjir telah dibuka untuk penempatan sementara mangsa banjir itu,” kata kenyataan itu.

Tambah NADMA, daripada 1,436 mangsa banjir, mangsa paling ramai terjejas direkodkan di Terengganu iaitu seramai 585 orang mangsa, disusuli Pahang seramai 517 mangsa banjir manakala Kelantan merekodkan 280 mangsa dan seramai 54 mangsa dicatatkan di Perak.

“Bagi keempat-empat negeri itu secara keseluruhanya sebanyak 19 Pusat Penempatan Sementara (PPS) mangsa banjir telah dibuka dan diaktifkan NADMA.

“Di Pahang, seramai 155 keluarga telah ditempatkan di tujuh PPS yang telah dibuka di empat daerah negeri tersebut. Di Terengganu, sebanyak 150 keluarga terjejas banjir telah dipindahkan ke 10 PPS yang dibuka di empat daerah,” kata NADMA.

Tegas NADMA lagi, di Kelantan, seramai 84 keluarga diletakkan di satu PPS yang dibuka dan diaktifkan untuk banjir.

“Akhirnya di Perak seramai 11 keluarga telah berjaya dipindah dan ditempatkan di satu PPS yangt dibuka untuk bencana kali ini,”- kata NADMA.-MalaysiaGazette