Senator Datuk Seri Zurainah Musa

KUALA LUMPUR – Senator Datuk Seri Zurainah Musa menafikan penamatan kontraknya sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) ada kaitan dengan penyelewengan dana.

Beliau menganggap ia hanya tohmahan.

“Kesemua keputusan berkaitan perolehan telah mengikuti tatacara dan tertib FINAS malah dibuat secara bersama melalui perbincangan mesyuarat Ahli Perbadanan FINAS.

“Saya bersedia untuk membantu sebarang siasatan jika
diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zurainah mengesahkan sudah mendapat surat dari Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang telah memendekkan tempoh lantikannya sebagai Pengerusi FINAS.

Beliau menganggap penamatan kontrak itu satu perkara biasa kerana ia kuasa seorang menteri.

“Sebagai menteri baharu perkara ini merupakan prerogatif beliau
dan saya memahami bahawa sebagai pucuk pimpinan baru di Kementerian, beliau akan mempunyai visi dan cara kerja sendiri yang ingin dibawa dan memerlukan sokongan ahli-ahli pasukannya sendiri,” ujarnya.

Beliau juga menyatakan kesediaan membantu aspek peralihan kepimpinan FINAS yang berlaku dan mengingatkan bakal penggantinya mempunyai tugas berat.

“Saya harap kepimpinan yang baharu akan juga menekankan keperluan ini dalam bajet baharu kerajaan sepertimana saya beserta ahli-ahli Perbadanan lain telah cuba lakukan pada tahun ini. Kita perlu juga mengkaji cara untuk mendapatkan institusi-institusi kewangan untuk memahami industri ini dan memperkenalkan kemudahan financing yang tidak membebankan industri untuk memastikan kemampan industri secara menyeluruh dan supaya ia tidak hanya bergantung kepada geran kerajaan,” katanya.

Selain itu, beliau juga mahu FINAS mengutamakan soal kebajikan ahli industri yang kritikal dan memerlukan mereka dilindungi skim perlindungan insurans sosial (seperti Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah PERKESO). – MalaysiaGazette