Pejabat Jabatan Peguam Negara

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menunggu laporan rasmi daripada Pejabat Peguam Negara berkenaan tindakan terhadap empat ahli Parlimen Sabah yang keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini.

Menurut beliau, laporan rasmi berkenaan akan diserahkan kepadanya selepas semakan dibuat terhadap sistem perundangan di Sabah.

“Saya tunggu laporan rasmi Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Peguam Sabah, sebab Sabah kadang-kadang berbeza perlembagaannya,” katanya ketika sidang media selepas penyempurnakan majlis penutup Forum Hari Hak Asasi Manusia 2022, Memperkukuh dan Mempertingkatkan Hak Asasi Manusia ke Arah Tiada Siapa Yang Tercicir.

Selain itu Azalina berkata, Speaker Dewan Rakyat berkuasa untuk mengumumkan status ahli-ahli Parlimen berkenaan dalam tempoh 21 hari.

Artikel berkaitan: Kepimpinan Bersatu Sabah umum keluar parti – Hajiji

Bersatu Sabah akan dibina semula – Ronald Kiandee

Bersatu Sabah akan dibina semula – Ronald Kiandee

“Kedua, saya rasa dalam Perkara 49(A), keputusan muktamad adalah Speaker dalam masa 21 hari selepas notis diberikan kepada beliau.

“Tetapi dalam pindaan perlembagaan itu (Akta Anti Lompat Parti) ada diletakkan beberapa syarat untuk membuat kepastian ini di luar kuasa saya untuk ulas ini, tapi saya tunggu laporan rasmi,” jelas beliau.

Pada Sabtu yang lalu, Ketua Menteri Sabah  Datuk Seri Hajiji Noor dan empat lagi ahli Parlimen Bersatu Sabah meninggalkan parti itu untuk menubuhkan parti tempatan baharu.

Empat Ahli Parlimen berkenaan adalah, Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).- MalaysiaGazette

4 MP Bersatu perlu kosong kerusi: Bekas menteri, peguam berlainan pandangan