Hajiji Noor

KUALA LUMPUR – Bersatu Sabah mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan sebulat suara mengambil keputusan menjadikan Gabungan Rakyat Sabah (GSR) sebagai komponen parti tempatan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Bersatu Sabah berkata, keputusan itu diambil selepas mempertimbangkan landskap politik negara ketika ini.

Beliau menegaskan, keputusan itu juga demi kepentingan Sabah dan demi perpaduan rakyat negeri itu.

Ia juga memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat Sabah untuk berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan.

“Dengan keputusan ini, kami akan menggunakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menyuarakan kepentingan Sabah dan negeri-negeri Borneo di Malaysia.

“Kami yakin keputusan ini adalah yang terbaik untuk perpaduan dan kestabilan politik di Sabah,” katanya.

Hajiji menegaskan, keputusan meninggalkan Bersatu adalah atas dasar bahawa ia tidak lagi boleh dipertahankan untuk kekal sebagai status quo.

Ini kerana di peringkat Persekutuan Bersatu adalah pembangkang manakala GRS telah berikrar menyokong Kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sabah mahukan kestabilan politik dan perpaduan. Kami mahu memastikan momentum dalam pertumbuhan dan pembangunan Sabah.

“Dan untuk melihat Sabah makmur sejajar dengan mandat yang diberikan kepada kami dalam pilihan raya lalu.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas kepimpinan beliau sepanjang tempoh kami sebagai ahli Bersatu,” katanya.

Pengerusi GRS itu berkata, Kerajaan Negeri yang ditunjangi GRS dan Barisan Nasional membuat keputusan itu turut berdasarkan nasihan Yang di-Pertuan Agong bahawa pertimbangan terbaik untuk kewujduan Kerajaan Perpaduan adalah untuk kestabilan politik dan pemulihan ekonomi.

Hajiji berkata, melangkah ke hadapan, mereka akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu.

“Kami berikrar untuk memberikan sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan

“Dan kami yakin dengan kepimpinan dan kebijaksanaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin negara,” katanya.-MalaysiaGazette