Anthony Loke Siew Fook.

SEREMBAN – DAP akan mewujudkan sistem penilaian untuk setiap menteri dan timbalan menteri dari parti itu dan tidak akan teragak-agak untuk menggantikan mereka pada bila-bila masa.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, setiap menteri dan timbalan menteri dari DAP justeru digesa untuk memulakan tugas serta-merta.

Beliau dipetik China Press sebagai berkata, empat menteri dan enam timbalan daripada DAP tidak boleh mengambil cuti pada masa ini, tetapi harus memahami kementerian dan isu kementerian masing-masing secara serta-merta.

“Tiada masa untuk berbulan madu bagi menteri dan timbalan menteri kerana tanggungjawab mereka besar dan harapan rakyat tinggi.

“Mereka justeru harus melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan jangan mensia-sia amanah yang diberikan rakyat,” katanya.

Beliau dilaporkan sebagai berkata demikian selepas mengunjungi sebuah tokong di Seremban untuk mengucapkan kesyukuran atas kemenangan yang dicapai dalam pilihan raya.

Anthony berkata, parti pimpinannya juga akan mendengar maklum balas daripada rakyat dan bersedia menggantikan menteri dan timbalan menteri yang tidak dapat mencapai standard yang dikehendaki.

Katanya, mekanisme penilaian belum ditetapkan, tetapi pencapaian banyak bergantung kepada respon daripada orang ramai.

“Selain itu, banyak agensi di luar sana juga membuat kaji selidik pendapat dan ada juga yang memberi penilaian dan kritikan.

“DAP akan sentiasa mengambil kira pandangan terhadap menteri dan timbalan menteri kami,” katanya. – MalaysiaGazette