Gambar hiasan

ISU pendidikan amat penting bagi setiap manusia bagi membina satu ketamadunan yang terdiri daripada masyarakat yang tinggi budaya,berilmu dan berakhlak. Setiap manusia berhak untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna bagi membentuk nilai kemanusiaan serta produktiviti sesebuah negara tanpa mengira jantina,agama dan ras keturunan.

Bahkan Orang Kelainan Upaya (OKU) juga berhak untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna selaras dengan konvesyen yang ditandatangani oleh Malaysia iaitu United Nation Convention on the Right of Persons with Disabilities (UNCRPD) yang memastikan hak pendidikan bagi golongan OKU tidak dinafikan.

Pendidikan terbahagi kepada dua iaitu pendidikan secara formal dan pendidikan secara tidak formal. Pendidikan secara formal berlaku apabila seseorang anak itu memasuki fasa persekolahan dengan mempelajari beberapa subjek pendidikan yang telah ditetapkan oleh kementerian dan pendidikan tidak formal pula adalah pendidikan awal yang bermula oleh ibubapa di rumah sebelum anak-anak mula memasuki alam persekolahan.

Setiap kekuatan pasti ada kelemahan yang perlu diperbaiki bagi memastikan generasi yang akan datang tidak terkena tempiasnya. Kelemahan sistem pendidikan di negara kita semakin terserlah apabila wabak virus Covid-19 mula melanda dan Perintah Kawalan Pergerakan terpaksa dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak dan menyebabkan beberapa sektor ditutup termasuklah sektor pendidikan negara.

Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PDPR) telah dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan proses pembelajaran dapat diteruskan walaupun sektor pendidikan diarahkan tutup. Pembelajaran secara atas talian telah menjadi satu norma baharu bagi para pendidik dan pelajar.

Tetapi terdapat beberapa kelemahan dan masalah yang perlu dihadapi semasa melaksanakan Pdpr seperti pencapaian internet yang lemah di beberapa buah kawasan,kekurangan peranti elektronik dan persekitaran yang tidak kondusif.
KPM perlu mencari jalan penyelesaian yang tuntas bagi memastikan masalah ini tidak berlarutan sekiranya negara kita menghadapi detik kecemasan seperti penularan wabak Covid-19 sebelum ini.

Bukan itu sahaja,isu keciciran pelajar juga menunjukkan angka yang sangat membimbangkan. Mengikut data yang dikeluarkan seramai 21,316 orang pelajar telah berhenti persekolahan sejak Mac 2020 sehingga Julai 2021. Antara faktor yang menyebabkan pelajar mengambil keputusan untuk berhenti sekolah adalah faktor kemiskinan keluarga,tidak minat belajar,masalah kesihatan dan sebagainya.
Kerajaan perlu merangka satu perancangan bagi memastikan isu keciciran pelajar dapat dikurangkan dengan mengadakan beberapa buah program kaunseling dan nasihat dengan pihak atau agensi yang terlibat termasuklah para pendidik dan ibubapa.

Sistem pendidikan negara kita juga perlu ditambahbaik mengikut pengedaran semasa terutama sekali selepas had umur mengundi telah diturunkan kepada 18 tahun atau Undi18. Subjek pendidikan awal politik perlu diterjemahkan ke dalam silibus pendidikan bagi memastikan anak muda cakna dan faham tentang sistem pemerintahan negara seperti maksud demokrasi berparlimen,raja berperlembagaan,cara untuk mengundi dan sebagainya supaya anak muda bijak dalam membuat pilihan dan bebas daripada mengamalkan politik perkauman yang sempit.

Persekitaran sekolah dan kemudahan infrastruktur perlu dipertingkatkan bagi memastikan anak-anak murid dapat belajar dalam keadaan persekitaran yang baik dan selamat. Para ibubapa melalui Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) juga perlu memainkan peranan penting dan tidak meletakkan satu tanggungjawab dan beban diatas pihak yang lain demi memastikan kelestarian dan kemakmuran sekolah terus dipelihara.

Di bawah pemerintahan kerajaan yang baharu dibentuk ini kita mengharapkan supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang diterajui oleh YBM Fadhlina Sidek dapat mempertingkatkan lagi mutu pendidikan negara dan membawa perubahan yang baik untuk pendidikan anak-anak Malaysia yang menjadi tunjang kekuatan,pelapis kepimpinan dan tiang seri negara.

MUHAMMAD AZHA SALAHUDIN
Aktivis NGO