Ahli Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sedang menjalankan kajian kepadatan tanah di lokasi tanah runtuh ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Bukit Permai 2, Ampang. Foto MOHD ADZLAN, 12 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Beberapa kawasan hotspot dikenalpasti berpotensi boleh berlakunya ancaman tanah runtuh susulan amaran hujan berterusan tahap buruk dan waspada yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, kata Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

Kawasan hotspot tanah runtuh yang mengalami amaran hujan berterusan tahap buruk melibatkan kawasan-kawasan di Kelantan (Tanah Merah, Lojing Gua Musang, Felda Aring) dan Terengganu (Marang, Dungun, Kenyir-Kuala Berang).

Manakala kawasan hotspot tanah runtuh yang mengalami amaran hujan berterusan tahap waspada pula melibatkan Perak (Lebuhraya Timur-Barat) dan Pahang (Cameron Highlands, Kuala Lipis, Temerloh).

Sehubungan itu, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia mengingatkan penduduk-penduduk yang berada di kawasan hotspot tanah runtuh yang mengalami hujan lebat yang berterusan agar sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan waspada terhadap tanda-tanda berlakunya ancaman tanah runtuh di kawasan kediaman masing-masing.

Langkah kewaspadaan ini perlu dikekalkan dalam tempoh dua hingga tiga hari walaupun selepas hujan berterusan telah berhenti disebabkan keadaan tanah yang telah berlaku/mengalami peresapan air sebelumnya boleh mencetuskan terjadinya tanah runtuh. – MalaysiaGazette