3R DAP Ir. Khairil Nizam Khirudin paranoia Rafizi peruntukan pembangkang
Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Lima penulisan terkini Lim Kit Siang mengenai gelombang hijau, Islam politik dan Islamofobia menunjukkan wajah sebenar veteran DAP dan partinya yang sedang mengalami paranoia dan menghina pilihan rakyat dalam negara mengamalkan demokrasi berparlimen.

Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, Kit Siang harus akur jika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah desakan rakyat menolak rejim kleptokrat maka PRU-15 merupakan hasrat sebenar rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang bersih, menolak penipuan janji, penyakau, tsunami Melayu dan antirasisme DAP.

Menurut beliau, lonjakan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) sebanyak 44 peratus dan undi popular sebanyak 4.6 juta adalah mandat pengundi yang harus dihormati.

“PN telah menjadi harapan utama kaum Melayu dan bumiputera berbanding Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk masa depan politik Malaysia.

“Bagaimana jika kita tafsirkan sokongan pengundi Cina terhadap DAP pula adalah sokongan kepada pembentukan negara yang menyamaratakan hak kaum dan menentang konsep bumiputera seperti yang termaktub dalam Deklarasi Setapak?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Khairil Nizam yang juga Ahli Parlimen Jerantut memberitahu, sikap paranoia dan Islamofobia DAP bukan sesuatu yang baharu.

Beliau menambah, sejak agenda penyatuan ummah dilancarkan dua tahun lalu, mereka telah membakar provokasi Talibanisme dan ekstremisme terhadap politik Melayu-Islam.

“Mereka menanam doktrin dan strategi bogeyman dalam kalangan orang Cina terhadap Pas,” jelasnya.

Khairil Nizam berkata, Kit Siang juga tidak senang jika politik Pas menunjukkan aliran kenaikan yang signifikan kerana parti itu akan menggagalkan dominasi politik DAP untuk memerintah dan memperkudakan pemimpin Melayu dalam menjayakan misi mereka. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Pas dilandasan yang betul dalam memimpin untuk menjadi negara yang cemerlang dan gemilang, teruskan kerja kuat tanpa menghiraukan provokasi2 spt itu, lebihkan pencerahan dan engagement dengan rakyat jelata.

Comments are closed.