Lori milik suspek yang digunakan untuk seleweng diesel turut dirampas KPDN dalam serbuan di Nibong Tebal, Pulau Pinang semalam. - Gambar ihsan KPDN.

SEBERANG PERAI – Tindakan seorang lelaki mengubah suai lori miliknya untuk kegiatan menyeleweng diesel membawa padah selepas dia ditahan di sebuah stesen minyak di Jalan Hooi Soo, Nibong Tebal semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan berkata, kegiatan suspek terbongkar selepas pihaknya mengesan sebuah lori muatan tiga tan dalam keadaan mencurigakan sedang mengisi diesel pada jam 1.30 pagi.

Kata beliau, lapan pegawai penguat kuasa menghampiri dan melakukan pemeriksaan terhadap lori terbabit sebelum menemui satu tangki besi tambahan berkapasiti 4,000 liter yang telah diubahsuai dan ditempatkan di belakang kenderaan terbabit.

“Susulan itu, lelaki berusiaa 40-an iaitu pemandu dan juga pemilik kenderaan tersebut ditahan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sejumlah 2,000 liter minyak diesel di dalam tangki besi lori itu.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM75,817 termasuk barang sitaan iaitu lori tiga tan, minyak disyaki diesel (2,000 liter), tangki besi, dua unit motor pum, set hos pum, wang tunai dan telefon bimbit,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak yang munasabah untuk melakukan kesalahan. – MalaysiaGazette