1MDB ringgit
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka mendatar berbanding dolar AS hari ini, terjejas oleh faktor luaran berikutan pasaran melindung nilai untuk keputusan mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang bersedia untuk membenarkan kadar faedah meningkat disebabkan inflasi.

Pada 9 pagi, unit tempatan diniagakan pada 4.4090/4160 berbanding dolar AS daripada 4.4010/4080 pada Jumaat lepas.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit mula goyah minggu ini selepas bacaan yang lebih tinggi daripada jangkaan mengenai Indeks Harga Pengeluar AS pada Jumaat yang memberikan bayangan tidak menggalakkan menjelang data Indeks Harga Pengguna utama dikeluarkan pada minggu ini.

“Hasil AS yang tinggi adalah negatif untuk ringgit manakala kekurangan ujian COVID-19 secara besar-besaran di China menambah elemen ketidakpastian mengenai jumlah kes COVID-19, yang lazimnya akan melonjak dan memberi impak negatif pada peringkat awal pembukaan semula.

“Oleh itu, saya berpendapat langkah untuk mempertimbangkan fakta mengenai sesuatu situasi sedang dibuat dari aspek Fed dan China,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding pound kepada 5.3882/3968 daripada 5.3908/3994 pada Jumaat lepas dan meningkat berbanding euro kepada 4.6347/6421 daripada 4.6466/6540 minggu lepas.

Ia turut naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2524/2581 daripada 3.2545/2601 pada Jumaat lepas dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2225/2278 daripada 3.2315/2369 sebelum ini. – BERNAMA