Anggota bomba memeriksa keadaan runtuhan siling di Bazar Kraftangan di pusat beli belah Dataran Pahlawan Megamall, Banda Hilir, Melaka, pagi tadi.

MELAKA – Pekerja dan beberapa pelanggan termasuk seorang bayi Bazar Kraftangan Dataran Pahlawan Megamall di Banda Hilir di sini nyaris cedera dihempap runtuhan di pusat beli belah itu di sini malam tadi.

Dalam kejadian 10.08 malam itu, pekerja dan pelanggan berkenaan termasuk seorang bayi baru beberapa saat meninggalkan kedai ketika runtuhan berlaku.

Ia dipercayai berpunca daripada kebocoran saluran paip pembentungan di kawasan bazar kraftangan di bawah tanah pusat beli belah berkenaanan menempatkan 70 kedai kraftangan.

Tangkap layar dari video yang tular mengenai
runtuhan siling di Bazar Kraftangan di pusat beli belah Dataran Pahlawan Megamall, Banda Hilir, Melaka, malam tadi.

Pekerja kedai, Mustapa Seman, 45, beberapa minit sebelum kejadian, dia sedang leka melayan beberapa pelanggan termasuk ada yang membawa bayi untuk membeli barangan kraftangan di kedai.

“Sebelum itu, saya memang ada bunyi seperti siling merekah namun menyangka ia perkara biasa seperti berlaku sebelum ini tambahan pula sejak kawasan padang atas pusat beli belah ini dijadikan parkir valet.

“Mujurlah, selepas sahaja beberapa saat pelanggan beredar, tiba-tiba berlaku runtuhan dan saya sempat mengelak walaupun barang jualan rosak akibat dihempap siling kapur dan rangka aluminium siling,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Mustapa Seman

Terdahulu, tular video rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) media sosial berkenaan runtuhan siling berkenaan yang nyaris menghempap salah seorang pekerja bazar kraftangan itu.

Seorang lagi peniaga, Abdul Halim Embi, 55, berkata, beliau kesal kerana masalah saluran pembentungan bocor itu sudah banyak kali diadukan sebelum ini, namun tidak diendahkan pihak pengurusan pusat beli belah.

“Sudahlah tiada tindakan, masalah yang berlaku semakin buruk sejak dua tahun lalu apabila kawasan padang di atas dijadikan parkir valet menyebabkan berlaku gegaran sekaligus memburukkan lagi situasi kebocoran paip.

Abdul Halim Embi

“Hendak cakap pasal rugi pun, kami sudah muak tapi terpaksa telan kerana tiada tempat lain untuk mencari rezeki tapi kali ini kami menggesa kerjasama pihak pengurusan agar memandang serius kemalangan yang berlaku.

“Mujur kejadian malam tadi tak melibatkan kemalangan jiwa, kalau kena pelanggan tentu ini akan menjejaskan imej pelancongan Melaka,” katanya. – MalaysiaGazette.Runtu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast