Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan adalah tidak wajar memberi persespsi negatif dan menghakimi lantikan dua anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang menganggotai UMNO.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu menegaskan, apa yang paling penting adalah Suhakam boleh berfungsi sebagai sebuah suruhanjaya bebas.

“Saya tidak setuju sesiapa sahaja menghakimi seseorang berdasarkan parti politik yang diwakilinya, kalau tidak nanti kamu kata menteri undang-undang tidak patut daripada UMNO.

“Saya rasa kita perlu hentikan persepsi bersalah ini. Tidak ada salah kalau dilantik daripada wakil mana-mana parti. Kalau lihat fungsinya, mesti ada pelbagai pertimbangan,” katanya ketika sidang media.

Beliau berkata demikian mengulas ketidakpuasan hati yang disuarakan oleh Pertubuhan Rakyat Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan (Madpet) terhadap lantikan dua ahli Politik daripada UMNO sebagai anggota Suhakam.

Salah seorang daripadanya ialah Hasnal Rezua Merican Habib Merican yang merupakan seorang peguam dan Timbalan Ketua Bahagian UMNO Selayang.

Seorang lagi, Nazira Abdul Rahim yang juga peguam dan Ketua Wanita UMNO Bahagian  Kulim-Bandar Baharu merangkap Ahli Majlis Perbandaran Bandar Baharu.

Sementara itu, Azalina ketika menyampaikan ucapan penutup Forum Hari Hak Asasi Manusia 2022, Memperkukuh dan Mempertingkatkan Hak Asasi Manusia ke Arah Tiada Siapa Yang Tercicir berkata, beliau ingin Akta Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597) dipinda.

Cadangan itu bagi memberikan Suhakam kebebasan untuk melaksanakan tugas sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap isu berkaitan dengan hak asasi.

Dalam masa yang sama Azalina mahu laporan Suhakam dibahas di Parlimen agar perjalanan suruhanjaya bebas berkenaan diketahui semua pihak.

“Kita perlu mengambil hakikat bahawa laporan-laporan Suhakam di Parlimen diberi peluang untuk dibahas, tidak kisah separuh atau suku hari supaya kerajaan dan pembangkang dapat terima maklumat jelas tentang kerja-kerja yang dilakukan oleh Suhakam,” tambahnya.-MalaysiaGazette