Wednesday, May 8, 2024
Home Utama Kerajaan tidak tarik subsidi pukal

Kerajaan tidak tarik subsidi pukal

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 27 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini memutuskan untuk tidak menarik balik subsidi pukal kepada rakyat.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, subsidi pukal yang dilaksanakan sekian lama telah memanfaatkan rakyat yang memerlukan iaitu kumpulan B40, M40 serta peniaga kecil walaupun ia turut memanfaatkan kumpulan T20.

“Malaysia mesti menyalurkan semula subsidi pukal yang turut memanfaatkan golongan mahakaya dan konglomerat ke arah menopang kumpulan B40, M40 dan peniaga kecil yang amat terkesan dan memerlukan.

“Sebagai contoh, Tenaga Nasional Berhad mempunyai hampir 10 juta pengguna tetapi 10 peratus dari angka itu yakni 1 juta pengguna yang meliputi kumpulan konglomerat menikmati lebih dari 50 peratus subsidi elektrik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) Bilangan 4 untuk tahun 2022.

Mesyuarat tersebut membincangkan isu yang telah dibangkitkan pada mesyuarat khas dua minggu lalu.

Dalam mesyuarat khas tersebut Anwar memberikan tempoh dua minggu kepada kementerian terbabit untuk membentangkan semula kertas yang komprehensif berkaitan subsidi setelah mengadakan sesi libat urus dengan pihak yang terlibat.

Anwar berkata, jabatan terbabit perlu merangka tindakan yang bersesuaian untuk melaksanakan subsidi bersasar dengan mengambil kira kebajikan rakyat.

“Jabatan-jabatan kerajaan mesti merangka serta membangun wahana yang bersesuaian bagi melaksanakan subsidi bersasar dengan mengambil kira kepentingan pengguna dan industri serta memastikan kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan kebijakan ini,” katanya.

Pada 27 November lalu Anwar Ibrahim memberi tempoh dua minggu untuk kementerian berkaitan menyiapkan kertas kerja berhubung pelbagai isu berkaitan subsidi untuk rakyat.

Menurutnya, kesan subsidi kepada rakyat perlu diperhalusi dan perlu diberikan secara bersasar kerana subsidi diberikan sekarang turut dinikmati golongan kaya dan industri.
Anwar memberi jaminan subsidi masih akan diberikan kepada rakyat namun beliau mahu ia lebih bersasar.
“Saya tak ada masalah dengan subsidi untuk rakyat (cumanya) itu subsidi harus bersasar, jika tidak harga minyak sebagai contoh, itu dimanfaatkan oleh golongan miskin dan kaya.
“Saya beri tempoh dua minggu untuk mencerakin, menelusuri seluruh implikasi dan bincang dengan sektor swasta, pelabur supaya mereka faham subsidi tujuannya untuk ringankan beban rakyat miskin dan tentunya golongan kaya dan industri tidak harus ambil sama.
“Kemudahan lain, insentif untuk syarikat akan diperbaiki supaya tidak menjadi satu beban kepada mereka kerana mereka sudah biasa dengan subsidi,” katanya.-MalaysiaGazette