kesenjangan banjir buruk
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kebimbangannya dengan kesenjangan pendapatan yang amat tinggi antara kawasan bandar dan luar bandar.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, berdasarkan data terkini pada 2019, pendapatan penengah isi rumah luar bandar adalah RM3,828 berbanding RM6,561 bagi kawasan bandar.

Menurut beliau, secara perbandingan mudah, bagi setiap RM100 yang diraih penduduk di bandar, penduduk luar bandar hanya mampu meraih sebanyak RM58.

“Tahun 2019 juga merekodkan kadar kemiskinan yang tinggi di kawasan luar bandar sebanyak 12.4 peratus berbanding kadar kemiskinan keseluruhan Malaysia iaitu 5.6 peratus.

“Kesenjangan ini terus melebar tahun demi tahun dan meminggirkan penduduk luar bandar daripada kebejatan ekonomi negara yang didorong kemajuan bandar,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menambah, data itu tidak mengambil kira tahun 2020 di mana kesan ekonomi disebabkan wabak Covid-19 adalah jauh lebih membarah.

Beliau memberitahu, perkara itu adalah sesuatu yang semakin kritikal dan tidak boleh dibiarkan tenat.

“Sesuatu yang drastik dan radikal perlu dilakukan daripada sekarang jika tidak mahu kawasan luar bandar Malaysia terus ketinggalan,” jelasnya.

Presiden UMNO itu turut membangkitkan tentang situasi yang menunjukkan lebih ramai penduduk bandar berhijrah ke luar bandar berbanding sebaliknya sejak 10 tahun lalu.

Beliau berkata, pada 2020, sebanyak 18.1 peratus penduduk bandar berhijrah ke luar bandar berbanding tiga peratus penduduk luar bandar ke bandar.

“Ini adalah angka yang menggalakkan kerana dengan penghijrahan penduduk kembali ke luar bandar bermakna pengalaman kerja, kemahiran dan ekonomi yang lebih inovatif yang diterokai di bandar dapat dibawa ke luar bandar.

“Ini sepatutnya dapat meningkatkan limpahan ekonomi dan peluang di kawasan luar bandar tetapi nampaknya tidak,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid bertekad menjadikan isu kesenjangan, penerokaan potensi ekonomi dan peningkatan taraf hidup luar bandar sebagai keutamaan dan fokusnya dalam menerajui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) penggal ini.

Bagi mencapai matlamat tersebut, beliau akan menggembleng tenaga dan kudrat kementerian serta agensi-agensinya untuk bersama-sama menyelesaikan segala isu berkaitan desa di Malaysia sepantas yang mungkin.

“Insya-Allah, saya akan mengemukakan pelan tindakan dan petunjuk prestasi utama (KPI) kementerian dalam masa terdekat.

“Jika kita bersama-sama bersatu hati dan beriltizam, kita akan dapat memakmurkan kembali luar bandar Malaysia,” jelasnya. – MalaysiaGazette