Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A A. Anbalagan.

KUALA LUMPUR – Bau busuk dari dalam sebuah rumah akhirnya membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki warga Nigeria di Taman Sri Serdang dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A. Anbalagan berkata, mangsa  seorang lelaki warganegara Nigeria berumur lingkungan 31 tahun merupakan bekas pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang telah tamat pengajiannya pada tahun 2017.

“Selepas tamat pengajian itu, lelaki itu tinggal bersendirian di rumah tersebut dan tiada maklumat tambahan mengenainya selepas tamat belajar di UPM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Anbalagan, kali terakhir lelaki itu dilihat oleh pekerja sebuah kedai serbaneka di taman perumahan itu pada 5 Disember lalu.

Ujarnya, lelaki itu disyaki mempunyai penyakit kerana terdapat banyak ubat-ubatan atas namanya ditemui polis dalam bilik tidurnya.

“Pemeriksaan terhadap badan si mati juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang dikesan pada tubuhnya Pihak KKM telah datang membuat pemeriksaan dan pengesahan mengenai kematian lelaki asing itu sementara pihak Forensik IPK Selangor dan Hospital Serdang juga hadir di lokasi kejadian.

“Sementara, doktor Hospital Serdang mengesahkan tempoh kematian lelaki itu adalah sudah empat hari,” katanya sambil menambah polis mengklasifikasikannya sebagai kematian mengejut namun siasatan masih berjalan.- MalaysiaGazette