Asisten Komisioner Cha Hoong Fong

KUALA LUMPUR – Tiga suspek yang mencuri enam buah motosikal di sebuah rumah di Kampung Perigi Nenas, Pulau Indah berjaya diberkas semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Cha Hoong Fong berkata, tangkapan terhadap warga tempatan itu dibuat semalam pada 2.37 pagi di dua kawasan berbeza iaitu Flat Armada Putra, Sg. Chandong dan Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah.

Beliau berkata, tangkapan dibuat susulan kesan cap jari yang berjaya ditimbulkan di tempat kejadian

“Suspek berumur 23 hingga 37 tahun dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, ketika serbuan pihak polis turut menemui dua daripada enam buah motosikal yang dicuri.

Selain motosikal, ketiga-tiga suspek turut mencuri dua unit pendingin hawa, sebuah mesin jahit, mesin basuh dan televisyen di sebuah kediaman milik seorang wanita.

Akibat kejadian yang berlaku pada Ahad lalu itu, wanita berkenaan mengalami kerugian sebanyak sebanyak RM10,000.

Mengulas lanjut Cha berkata, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Selatan telah membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan bagi kesalahan pecah masuk premis dengan maksud hendak mencuri dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri kenderaan.

“Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh 14 tahun.

“Manakala hukuman bagi seksyen 379A Kanun Keseksaan adalah penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari tujuh tahun, dan hendaklah juga dikenakan denda,” ujarnya.

Dalam masa yang sama katanya lagi, Majistret Mahkamah Klang telah mengeluarkan  reman ke atas semua suspek selama empat hari bermula semalam hingga Jumaat ini.

Selain itu Cha berkata, polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti suspek lain yang terlibat serta mengesan barang curi lain.- MalaysiaGazette