Mohd Yusof menunjukkan kesan lantai pecah di ruang padang rekreasi atas pusat beli belah Dataran Pahlawan Megamall, Banda Hilir di sini yang didakwa membahayakan keselamatan 79 peniaga kraftangan di Bazar Kraftangan bangunan itu.

MELAKA – Insiden runtuhan siling di Bazar Kraftangan Dataran Pahlawan Megamall, Banda Hilir di sini Ahad lalu terus menghantui peniaga sekali gus menggesa kerajaan memindahkan lokasi mereka padang rekreasi di atas pusat beli belah itu seperti rancangan asal.

Malah mereka menyifatkan, nasib 79 peniaga yang tinggal daripada 133 peniaga asal sejak 17 tahun lalu itu kini diancam bencana banjir dan siling runtuh tidak ubah seperti ibarat ‘masuk kubur’ sendiri.

Peniaga kraftangan, Abdul Rahim Embi, 55, berkata, insiden yang hampir meragut nyawa pekerja dan pengunjung bazar kraftangan itu pada pukul 10.08 malam Ahad lalu seharusnya membuka mata pihak berkuasa terhadap nasib peniaga kecil itu.

Abdul Rahim Embi

“Sebenarnya, memang dah tak relevan lagi kami berniaga di sini sebab itu dulu ada 133 peniaga tapi kini tinggal 79 sahaja yang cuba bertahan walaupun keselamatan kami sentiasa dalam bahaya seperti siling runtuh Ahad lalu, selain masalah banjir.

“Dulu waktu kami perniagaan dipindahkan ke bawah tanah ini sebaris dengan parkir kereta, kerajaan janji tiada gerai jualan kraftangan dibenarkan berniaga di luar bangunan, tapi sekarang ini begitu banyak peniaga sama jual di lokasi tumpuan pelancong itu.

“Sudahlah lot perniagaan kami tersorok bawah tanah ibarat hendak ‘kuburkan’ kami, ada pula gerai di luar yang mengakibatkan pendapatan kami terjejas hampir 70 peratus,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Seorang lagi peniaga yang juga Pengerusi Persatuan Peniaga, Penjaja, Pengusaha Kecil Melayu Melaka Cawangan Melaka Bandar (PPPPKMNM) Muhammad Rujahan Sidik berkata, belum pernah berlaku premis jualan kraftangan diletakkan searas parkir kenderaan.

Muhammad Rujahan Sidik

“Sepatutnya di bawah tanah jadi ruang parkir sahaja, tapi terbalik pula pada nasib kami di sini bila padang rekreasi atas premis yang terbuka dan jadi tumpuan ramai dijadikan ruang parkir valet dan kami berada di bawah tanah yang tidak ramai pengunjung.

“Bayangkan keselamatan kami bila berniaga ‘berbumbungkan’ puluhan kereta di atas kepala kerana struktur bangunan pun kita tak tahu tahap mana kekuatannya sebab itulah terjadi siling runtuh yang mungkin berpunca akibat gegaran dan kebocoran pada lantai parkir di atas,” katanya.

Sementara itu, Penasihat PPPPKMNM Datuk Mohd Yusof Abu Hasan berkata, nasib dihadapi 79 peniaga di bazar berkenaan tidak ubah seperti ‘menguburkan’ perniagaan sendiri.

Menurutnya, ini kerana mereka terpaksa berdepan dua risiko sama ada gulung tikar disebabkan tidak mampu bersaing dengan lambakan perniagaa kraftangan di luar atau dihempap runtuhan bangunan yang boleh berlaku pada bila-bila masa.

Mohd Yusof Abu Hasan

“Kalau ada yang tak percaya, cuba datang dan berniaga selama sebulan di bawah tanah ini lihat berapa ramai pelancong yang masuk kerana terdapat puluhan lagi gerai di luar menjual barangan sama di dalam pusat beli belah ini.

“Di hadapan tempat tumpuan pelancong seperti Bangunan Stadthuys, Medan Samudera, Memorial Kemerdekaan sudah berpuluh-puluh gerai jual kraftangan sama yang mana akhirnya, nasib 79 peniaga di bawah tanah ini ibarat masuk ‘kubur’.

“Macam mana mereka hendak bersaing secara sihat dalam keadaan tiada pelanggan sebab itu saya berharap kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) turun padang melihat sendiri nasib dialami peniaga berkenaan,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini Kumpulan Melaka Berhad (KMB) selaku pemilik padang rekreasi di atas pusat beli belah itu sudah meluluskan satu pelan induk memindahkan peniaga di bazar kraftangan berkenaan ke kawasan terbuka itu namun tidak dilaksanakan.

Anggota bomba memeriksa keadaan runtuhan siling di Bazar Kraftangan di pusat beli belah Dataran Pahlawan Megamall, Banda Hilir, Melaka yang berlaku pada 10.08 malam Ahad lalu

“Jadi hari ini saya merayu kepada MBMB dan KMB supaya padang ini dapat dikembalikan seperti rancangan asal dahulu dijadikan gerai alternatif buat peniaga kraftangan di bawah dan lot perniagaan mereka di bawah tanah itu dijadikanruang p arkir.

“Ada kemungkinan juga bila ruang atas dijadikan parkir valet ini menyebabkan gegaran yang menjadi punca runtuhan siling Ahad lalu sebab itu kita merayu keprihatinan kerajaan untuk mengubah nasib peniaga ini,” katanya. – MalaysiaGazette.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast