PASIR GUDANG – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor menahan seorang pengurus dan seorang penyelia sebuah kilang kerana disyaki terlibat melepaskan efluen bahan kimia di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, di sini, semalam.
JAS Johor dalam satu kenyataan memberitahu, tangkapan itu dibuat selepas mendapat aduan awam berlaku pencemaran di Sungai Buloh, di sini.
“Pihak JAS Cawangan Pasir Gudang telah menjalankan siasatan ke sebuah premis berasaskan oleo kimia di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang.
“Siasatan mendapati terdapat pelepasan efluen berwarna coklat dari sistem pengolahan efluen premis yang gagal berfungsi,” menurut kenyataan itu.
JAS Johor memaklumkan, persampelan efluen telah dijalankan dan telah dihantar ke Jabatan Kimia Petaling Jaya untuk analisa.
Pihak Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan anggota dari Balai Polis Pasir Gudang telah bersama-sama JAS dalam pemeriksaan tersebut.
“Tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) terhadap premis dikenakan untuk menghentikan pencemaran,” jelas kenyataan tersebut.
Menurut JAS Johor, tangkapan dibuat bawah Seksyen 37C, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk siasatan lanjut kes berhubung pencemaran ke perairan daratan dan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.
Sebarang aduan pencemaran boleh terus dilaporkan ke talian bebas tol JAS 1-800-88-2727 atau email ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://[email protected] MalaysiagGazette
















