PUTRAJAYA – Sebanyak empat negeri membabitkan Kelantan, Pahang, Johor dan Selangor antara yang dikenal pasti sebagai kawasan titik panas banjir yang mungkin berlaku pada bila -bila masa ketika Monsur Timur Laut (MTL).
Menteri Pembangunan Kerajaan dan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBPM) telah menyenaraikan secara keseluruhan 5,235 kawasan berisiko tinggi di seluruh negara.
“Kawasan yang terlibat turut meliputi 4,775 kawasan banjir, 254 kawasan cerun kritikal dan 186 kawasan kepala air. JBPM juga akan melakukan pemantauan setiap hari bagi memastikan keadaan keselamatan orang awam di kawasan berkenaan terjamin,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat kesiapsagaan JBPM menghadapi MTL di sini hari ini.
Tambah Kor Ming, agensi itu telah menetapkan persedian yang lebih proaktif bagi menghadapi bencana berdasarkan pengalam peristiwa banjir yang melanda negara pada Disember tahun lalu.
“Langkah ini termasuk dengan mengerahkan kekuatan dan keanggotaan pegawai bomba terdiri daripada 12,857 pegawai sepenuh masa dan 2,111 pegawai bomba bantuan yang bersiap siaga berdepan dengan sebarang kebarangkalian banjir.
“Dari segi kekuatan logistik darat dan air, kesiapsagaan ini melibatkan kenderaan angkut ringan sebanyak 584 unit, kenderaan angkut berat (140 unit) dan kenderaan marin (487 unit) termasuk 62 bot,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan sejak banjir melanda di seluruh negara pada 7 November lalu, seramai 3,416 mangsa di kawasan yang terjejas telah diselamatkan oleh JBPM dengan memindahkan mereka ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengeluarkan amaran Luaran kedua dijangka berlaku pada Sabtu ini iaitu 17 Disember hingga 20 Disember dimana Monsun Timur Laut (MTL) akan membawa hujan lebat melebihi 150 milimeter (mm) sehari. – MalaysiaGazette