KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengambil langkah intervensi dalam menangani isu telur dengan mengurangkan atau memberhentikan sementara eksport telur ke luar negara untuk menstabilkan bekalan dan juga menstabilkan harga telur dalam pasaran tempatan.
Menurut aktivis media sosial, Mohamad Shafiq Abdul Halim, kerajaan juga perlu memikirkan soal pemain industri termasuk kepentingan rakyat Malaysia keseluruhannya dengan memberikan perlepasan cukai atau menaikkan subsidi telur ayam gred kawalan buat sementara waktu kepada syarikat-syarikat pengeluar telur yang terlibat untuk menampung perbezaan harga antara kos dan harga siling.
“Langkah ini perlu dengan mengambil kira kos pengeluaran yang meningkat dan harga kawalan menyebabkan pengeluar kerugian serta terpaksa mengurangkan pengeluaran, sekali gus menyebabkan bekalan berkurangan.
“Kenaikan harga telur menyebabkan peningkatan kos sara hidup rakyat, perkara itu menyebabkan rakyat memprotes kerajaan dengan hashtag #kerajaantelur kerana gagal untuk memberi tumpuan kepada keperluan harian mereka dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, kementerian itu melaksanakan pelan jangka pendek dengan membawa masuk bekalan dari luar negara bagi menampung keperluan telur ayam dalam negara.
Malah Mohamad turut berkata, pihaknya mengenalpasti beberapa sumber dari luar untuk menampung keperluan bekalan dalam negara dengan kadar segera bagi memastikan keterjaminan telur ayam di pasaran.
Inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar katanya jugq bukan untuk menekan pengusaha industri telur ayam tempatan, sebaliknya bagi memastikan bekalan telur ayam dalam negara tidak terputus dan kebajikan rakyat terjaga.
Dalam pada itu, Mohamad Shafiq turut mencadangkan kepada kerajaan agar sentiasa berusaha dengan pelbagai pendekatan bagi menjamin bekalan telur ayam negara kembali stabil dengan harga yang kompetitif.
“Kerajaan juga perlu terus memantau kenaikan harga telur dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menyelaraskan harga telur di seluruh Negara bagi menjaga kebajikan pengguna serta peniaga,” katanya lagi.
Jumaat lalu, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin mencadangkan agar Malaysia menghentikan eksport telur ke luar negara agar bekalan mencukupi untuk kegunaan dalam negara.
Malah katanya, rancangan kerajaan untuk mengimport telur ayam bagi menyelesaikan kekurangan bekalan dalam pasaran bukan penyelesaian kepada masalah sebenar di negara ini. – MalaysiaGazette