PUTRAJAYA – Penganjur tapak pesta ria di Puncak Alam, Kuala Selangor wajar dikenakan tindakan tegas kerana beroperasi tanpa lesen hingga menyebabkan tiga pengunjung termasuk seorang kanak- kanak cedera baru-baru ini.
Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata syor itu sudah dimaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) kawasan itu mengikut Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 yang mana sabit kesalahan penganjut berdepan denda RM25,000 dan penjara tiga tahun.
“Saya dapat makluman fun fair itu memang tidak mendapat kebenaran untuk beroperasi, maka saya syor tindakan tegas diambil kepada penganjur kerana anjurkan fun fair tanpa lesen.
“Ini mengikut undang-undang dibekalkan, maka kita serahkan kepada pihak berkuasa dan saya harap tiada lagi pihak yang cuba mengambil risiko terbabit menganjurkan fun fair yang boleh membahayakan keselamatan orang awam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menghadapi Monsun Timur Laut di sini hari ini.
Ditanya mengenai bagaimana tindakan selanjutnya terhadap penganjur lain untuk mengadakan pesta seumpama itu, beliau berkata pihak PBT akan mengkaji sebelum mengeluarkan lesen berkenaan.
“Bagi penganjur lain, PBT akan kaji sebelum keluarkan lesen mengikut peraturan dan undang-undang kecil yang memang sudah ada,” ujarnya.
Pada 12 Disember lalu, tiga mangsa melibatkan dua wanita dan seorang kanak-kanak cedera selepas terjatuh daripada satu permainan ‘fun fair’ di Eco Grandeur hingga tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa dilaporkan berkata pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian selepas mendapat panggilan telefon mengenai insiden terbabit kira-kira jam 8.50 malam.
Beliau berkata, ketiga-tiga mereka terjatuh dari permainan ‘Sotong Ride’ ketika sedang bergerak dan salah seorang daripada mangsa mengalami cedera parah.
Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Shah Alam menggunakan tiga ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Susulan itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor Rahimah Rahmat berkata tapak pesta ria berkenaan pernah disita pada 29 Nov lalu kerana tidak mendapat lesen operasi daripada pihak tersebut namun operator tempat permainan tersebut tetap meneruskan operasi.
Rahilah berkata kebenaran untuk beroperasi di tapak permainan berkenaan bagaimanapun diberikan kepada operator tersebut oleh pihak pemaju bermula 2 Disember hingga 8 Januari depan memandangkan kawasan itu masih belum diserahkan kepada MPKS.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut meminta laporan dan siasatan dibuat mengenai aspek keselamatan di tapak pesta ria berkenaan serta mengingatkan pihak PBT meneliti aspek berkenaan agar kejadian sama tidak berulang. – MalaysiaGazette