Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

AMPANG – Seorang lelaki yang didakwa mengamuk menggunakan sabit di kawasan letak kenderaan sebuah restoran di Jalan Pandan Jaya semalam ditahan reman hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek ditahan reman sehingga 17 Disember ini bagi tujuan siasatan.

Sebelum itu, pihaknya menerima laporan dibuat oleh seorang pengadu yang berada di lokasi lebih kurang pukul 11.40 malam tadi mengadu diugut oleh suspek.

“Pengadu telah menegur suspek sehingga menyebabkan suspek mengambil sebilah sabit dan menendang kerusi dan meja di restoran tersebut.

“Suspek juga mengugut akan memotong pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, bertindak atas maklumat sepasukan polis dari IPD Ampang Jaya telah membuat tangkapan terhadap lelaki lingkungan umur 36 tahun itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seskyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1952 iaitu memasukkan dadah dalam badan.

“Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 506 boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, atau denda atau kedua-duanya.

“Bagi hukuman Seksyen 427 adalah penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada lima tahun, atau denda atau kedua-duanya.

“Manakala kesalahan Seksyen 15(1)(a) membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun,” katanya. – MalaysiaGazette