Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjalan keluar selepas menghadiri keputusan permohonan untuk mendapatkan beberapa dokumen transaksi melibatkan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Seri Zeti Aziz di Mahkamah Rayuan Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 08 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak berharap agar ahli-ahli parti tetap istiqamah, jangan risau dan bangkit semula.

Pesanan itu disampaikan melalui Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang bertemu Najib di mahkamah pagi tadi.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu berkata demikian ketika berbincang tentang isu semasa termasuk barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan serta isu ekonomi bersama Mohd. Puad.

“Melihat wajah Bossku yang segar, saya yakin Bossku akan kembali dan meneruskan perjuangan murni ini,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau menambah, bekas Perdana Menteri itu kelihatan amat ceria dan bersemangat walaupun tubuhnya nampak susut sedikit.

Mohd. Puad memberitahu, Najib tidak dibenarkan untuk menggunakan telefon pintar dan beliau mengikuti perkembangan semasa melalui akhbar yang lewat sehari.

“Bermakna dia dapat cerita yang sudah basi dua hari,” jelasnya.

Beliau juga berharap agar prosiding semakan kehakiman kes SRC International tahun hadapan dapat disiarkan secara langsung. – MalaysiaGazette