Anggota polis maut digilis kenderaan di Lebuhraya ELITE awal pagi tadi. Ihsan IPD Sepang

PUTRAJAYA – Seorang anggota polis maut selepas digilis sebuah kenderaan dalam nahas jalan raya di Kilometer 37.7 Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE) menghala ke utara, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata, dalam kejadian yang berlaku jam lebih kurang 6 pagi itu, mangsa Amirul Faiz Mohammad Ali berusia, 31, dari Ibu pejabat Kontinjen Kuala Lumpur yang bertugas di Istana Negara telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Semasa kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Taman Sri Duyung, Melaka menuju ke Jalan Duta, difahamkan untuk bertugas.

“Motosikal jenis SYM yang ditunggang mangsa dipercayai telah hilang kawalan sebelum terlanggar besi penghadang jalan di ELITE, sebelum terjatuh di atas jalan di lorong paling kanan.

“Dalam sekelip mata, secara tiba-tiba datang sebuah kenderaan yang datang di laluan sama yang masih belum dikenal pasti identitinya telah menggilis mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, akibat insiden ngeri itu, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Dengkil yang bergegas ke lokasi dengan ambulans selepas menerima panggilan mengenai kemalangan maut itu.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987. -MalaysiaGazette