KUALA LUMPUR – Pasukan Penang FC mengumumkan kehadiran semula pemain muda, Azmeer Aris yang bakal bermain di posisi pertahanan kiri skuad Harimau Kumbang pada musim depan.
Berita itu disahkan sendiri menerusi laman Facebook rasmi Penang FC.
Kemasukannya ke skuad Harimau Kumbang dilihat sebagai ‘pusingan U’ telah diambil oleh pemain tersebut selepas kali terakhir beraksi bersama skuad itu pada musim 2021.
Berketinggian 1.73 meter, bakat serta pengalaman beraksi di peringkat tertinggi Piala AFC bersama Kedah dipercayai bakal menjadi taruhan peminat untuk musim depan.
Untuk rekod, Azmeer hanya membuat 16 penampilan di Liga Super dan tiga di Piala AFC dengan kebanyakannya hanya memenuhi bangku simpanan pemain.
Sementara itu, Penang FC turut mengumumkan dua lagi pemain yang akan kekal beraksi pada musim depan iaitu pemenang anugerah Puskas, Faiz Subri dan pemain tengah Faiz Mazlan.
Selain daripada bermain di posisi tengah, Faiz Subri juga dilantik sebagai duta pasukan di mana beliau akan dipertanggungjawabkan untuk segala aktiviti melibatkan urusan promosi dan program pembangunan bola sepak kanak-kanak di negeri itu. – MalaysiaGazette