Geng jenayah pecah rumah dan kedai bergelar Mat Bezza tumpas di tangan polis Selasa lalu di tangan polis IPD Kuala Langat.- Gambar ihsan IPD Kuala Langat.

KUALA LUMPUR – Satu kumpulan penjenayah yang dikenali Geng Man Bezza yang dipercayai aktif  pecah rumah dan kedai sekitar daerah Kuala Langat, Selangor akhirnya tumpas di tangan polis.

Dua individu yang disyaki ahli geng berkenaan yang terlibat dalam kegiatan jenayah diberkas dalam serbuan oleh polis di kawasan Pandamaran, Klang pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, kedua-dua suspek warga tempatan yang diberkas itu adalah berumur 32 dan 38 tahun.

“Pada 31 Oktober lalu, polis telah menerima laporan polis daripada seorang guru tuisyen wanita berumur 44 tahun berkaitan kes pecah pejabat di Bandar Tropicana Aman, Saujana Putra yang mana pengadu kehilangan sebuah komputer riba yang disimpan dalam pejabatnya.

“Bertindak atas maklumat dan aduan itu, sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat telah melakukan tangkapan terhadap seorang lelaki warga tempatan di sekitar kawasan Pandamaran, Klang kira-kira jam pukul 9.20 malam Selasa lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Ridhwan, hasil soal siasat ke atas suspek berkenaan, polis seterusnya melakukan serbuan kedua dan hasilnya seorang lagi rakan sejenayahnya yang disyaki bersubahat ditangkap polis lebih kurang pukul 10.05 malam di sekitar kawasan sama.

“Tangkapan ke atas kedua-dua suspek itu berjaya membawa polis kepada rampasan beberapa peralatan dipercayai digunakan kedua-dua suspek untuk melakukan kegiatan jenayah itu.

“Antara dirampas ialah sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang digunakan semasa kejadian, dua telefon bimbit, sehelai baju, dua jam tangan dan dua helai seluar panjang, dua topi, empat pasang kasut, satu beg galas, sebatang besi pembuka tayar yang diubah suai, sebatang pemutar skru dan satu playar,” ujarnya.

Semakan polis mendapati kedua dua suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan kes narkotik.

“Siasatan lanjut juga mendapati suspek ini aktif dalam melakukan jenayah sejak tiga bulan yang lalu. Polis juga percaya tangkapan kedua-dua suspek itu berjaya membantu menyelesaikan sekurang lapan kes pecah kedai dan pecah pejabat di sekitar kawasan Saujana Putra yang dianggarkan kerugian berjumlah RM20,000,” katanya.

Kedua-dua suspek itu kini direman selama enam hari untuk siasatan lanjut dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette