GEORGE TOWN – Pertubuhan Komuniti India Muslim Malaysia (IMcom) meluahkan rasa terkilan dengan pengumuman pemberhentian sementara perkhidmatan feri bagi motosikal dan basikal di negeri ini.
Presidennya, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor berkata, tindakan itu dilihat seolah-olah keperluan rakyat tidak lagi diutamakan oleh kerajaan negeri mahu pun Kerajaan Persekutuan.
Jelas beliau, ia susulan lebih 500 pengguna yang menggunakan perkhidmatan itu setiap hari bagi rutin harian termasuk ulang-alik kerja akan terkesan.
“Dulu pengguna menaiki kereta boleh menikmati perkhidmatan feri di negeri ini namun ia digantikan dengan feri Roro menyebabkan hanya pejalan kaki, penunggang motosikal serta basikal saja dibenarkan namun dengan pengumuman terbaru ini semakin kecil skala penggunaan iaitu hanya untuk pejalan kaki.
“Memang kita tahu ia sementara dan demi memastikan pembangunan untuk Pulau Pinang tetapi nasib pengguna yang menikmati perkhidmatan itu selama ini juga perlu diambil kira.
“Sebagai rakyat Pulau Pinang saya rasa sedih kerana semakin hari perkhidmatan pengangkutan air yang suatu ketika dahulu menjadi ikon negeri semakin hilang ditelan zaman,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Tambah Mohamed Rizwan, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) serta Kerajaan negeri sepatutnya cari penyelesaian alternatif sebelum membuat pengumuman pemberhentian sementara itu.
“Kita juga berharap Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Pengangkutan yang baru dilantik mengembalikan semula kegemilangan feri Pulau Pinang,” katanya.
Terdahulu media melaporkan perkhidmatan feri untuk motosikal dan basikal di Pulau Pinang akan dihentikan sementara bermula 1 Januari depan bagi memberi laluan kerja menaik taraf dermaga di terminal feri Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di sini dan Pangkalan Raja Tun Uda.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, proses menaik taraf itu mengambil masa tujuh bulan merangkumi penggantian pelantar laluan dan pemasangan ponton terapung untuk disesuaikan dengan spesifikasi feri baharu.
Menurut beliau, ia membabitkan kos kira-kira RM19 juta dan turut meliputi proses memasang cerucuk di dasar laut bagi mengukuhkan lagi ponton terapung.
“Sepanjang tempoh itu, perkhidmatan feri kenderaan beroda dua dihentikan, namun perkhidmatan feri berulang alik dari PSAH dan Terminal Swettenham Pier Cruise (SPCT) untuk penumpang pejalan kaki masih diteruskan,” katanya hari ini. – MalaysiaGazette