Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan lawatan kerja di Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur, 15 Disember 2022.

KUALA LUMPUR – Meskipun keadaan ekonomi negara kembali mengukuh pasca Covid-19, kerajaan mesti memikirkan cabaran semasa dengan mengambil kira risiko-risiko seperti pertumbuhan global yang lembab, konflik dan masalah geopolitik di peringkat antarabangsa yang terus memburuk serta gangguan kepada rantaian bekalan makanan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan bertindak segera dengan pendekatan jangka pendek dan jangka panjang bagi mendepani permasalahan ini.

”Usaha dan upaya saya adalah memastikan reformasi struktur ekonomi dijelmakan dengan teratur bagi merancakkan pertumbuhan serta memperkukuh asas-asas ekonomi negara,” katanya yang mengadakan kunjungan di Bank Negara Malaysia tengah hari tadi.

Turut serta dua timbalan menteri kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim.

Kunjungan itu bertujuan mendengar taklimat mengenai prospek serta tumpuan dasar ekonomi negara.

Menurut beliau, reformasi yang bakal dilakukan termasuklah menarik pelaburan yang berkualiti, peralihan kepada ekonomi rendah karbon, mempertingkat perlindungan sosial, memantapkan daya tahan fiskal menjadi antara pendekatan dan langkah yang diambil.

“Insya-Allah, langkah-langkah ini dilaksanakan dengan dukungan BNM dan semua jabatan yang berkaitan,” ujar Anwar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast