Lima warga Myanmar ditahan APMM ketika menangkap ikan di Pulau Kendi, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Padah mengendalikan bot nelayan tempatan, lima kru warga Myanmar ditahan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang di perairan negeri ini, semalam.

Kesemua mereka ditahan ketika agensi berkenaan melakukan rondaan Op Tanjung di kedudukan 62 batu nautika barat Pulau Kendi di sini pukul 9.13 pagi.

Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot nelayan kelas C2 itu dikesan ketika menangkap ikan menggunakan pukat tunda.

Bot serta hasil tangkapan laut disita untuk tindakan lanjut.

Katanya, pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendali seramai lima kru pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia lingkungan 20 hingga 43 tahun.

“Bot berkenaan didapati berpangkalan di Pantai Remis, Perak.

“Mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Abd Razak, bot serta kesemua kru termasuk hasil laut yang dianggarkan seberat 150 kilogram (kg) itu dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung.

“Mereka kemudian diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk siasatan lanjut. APMM ingin menegaskan kepada semua terutama komuniti nelayan termasuk pemilik bot supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Kita juga tidak akan berkompromi dengan individu yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan sedia ada,” tegas beliau. – MalaysiaGazette