Manuel Ott. Foto Facebook KDA FC.

KUALA LUMPUR – Skuad Sang Penyu terus kehilangan tonggak utamanya apabila bekas pemain import tengah pasukan itu, Manuel Gelito Ott menyertai Kedah Darul Aman (KDA) FC secara rasmi.

Sebelum ini, ayam tambatan Terengganu FC, Faisal Halim dikhabarkan bakal meninggalkan pasukan itu selepas memutuskan untuk menabur bakti bersama Selangor FC tahun depan.

“Selamat datang Manuel Gelito Ott ke bumi Jelapang Padi! Pemain import baharu pasukan Sang Kenari ini berusia 30 tahun berasal dari Munich, Germany.

“Ott yang memiliki kerakyatan Filipina mengisi kuota pemain import Asean Sang Kenari.” umum laman KDA FC di laman Facebook kelab itu.

Bersama Terengganu, pemain warisan Filipina dan Jerman itu beraksi dalam tempoh semusim dengan 21 perlawanan dan lima bantuan gol.

Perpindahan itu menyaksikannya mengikut jejak langkah bekas Ketua Jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain yang kini berkhidmat di Kedah untuk Liga Malaysia 2023. – MalaysiaGazette