Laluan yang ditenggelami air sepanjang 150 meter merupakan kawasan yang rendah menyebabkan air Sungai Bunuh melimpah ketika hujan lebat dan menyukarkan penduduk untuk keluar ke Kampung Mela yang terletak di seberang Sungai Jelai termasuk  bandar Kuala Lipis dan Jerantut.

LIPIS – Setiap kali hujan lebat, laluan masuk ke Kampung Gemunchur di sini pasti tersekat kerana ditenggelami air  dan menyukarkan penduduk.

Hendak-hendak lagi ketika musim tengkujuh sekarang apabila hujan saban hari menyebabkan mereka sukar untuk berurusan seharian ke Kampung Mela atau ke bandar Lipis dan Jerantut.

Penduduk termasuk pengusaha ternakan dan pekerja ladang memohon kerajaan menaik taraf laluan itu dengan segera yang kini ditenggelami air sedalam tiga meter ketika musim tengkujuh.

Penduduk Kampung Gemuncur, Roslan Idris, 60, berkata, laluan berkenaan amat rendah dan mudah ditenggelami ketika musim tengkujuh yang melimpah yang datang daripada sebatang anak Sungai Jelai iaitu Sungai Bunuh ketika hujan lebat selama beberapa hari ini.

“Penduduk sering merungut kerana sejak seminggu lalu laluan berkenaan ditenggelami air yang melimpah dan lebih membimbangkan penduduk, terdapat lubang besar di laluan berkenaan berikutan sebuah pembetung telah pecah akibat banjir dan tidak boleh dilalui kenderaan selepas air surut nanti.

“Itu adalah laluan utama penduduk di sini untuk membeli barangan dapur di kedai runcit di Kampung Mela dan terpaksa menggunakan bot gentian kaca untuk melalui kawasan itu dan kemudiannya menyeberangi Jambatan Gemuncur sebelum menaiki kenderaan,” katanya.

Katanya, sejak hujan berterusan kebelakangan ini, paras air Sungai Jelai yang naik menyebabkan air Sungai Bunuh turut naik sehingga laluan ini tenggelam.

Seorang warga emas, Idris Bakar, 70, berkata, dia serta penduduk berharap kerajaan lebih cepat menaik taraf kemudahan di situ sekurang-kurangnya paras laluan ditinggikan untuk mengelakkan limpahan air anak sungai.

“Penduduk di sini sudah biasa dengan keadaan ini tetapi kita tidak mahu lagi berdepan kesukaran ini sambil berharap pihak berwajib menaik taraf laluan ini.

“Ketika berlaku banjir dan terputus laluan berlaku, kami sukar keluar untuk keluar ke bandar kerana tidak boleh dilalui kenderaan sekiranya terdesak terpaksa menggunakan bot gentian kaca melalui kawasan yang ditenggelami air,” katanya.

Bagi Zulkafli Harun, 61, jalan tersebut hampir dengan aliran utama Sungai Jelai lebih cepat ditenggelami air yang masuk melalui anak Sungai Bunuh ditambah air yang mengalir dari kawasan daratan ketika hujan lebat.

“Saya berharap pihak berwajib dapat memasang pembetung yang lebih besar dan meninggikan laluan ini yang cuma anggaran sepanjang 150 meter sahaja bagi mengelak banjir berulang,” katanya. – MalaysiaGazette