KUALA LUMPUR – Kegiatan sindiket yang mencuri dan meleraikan komponen kereta yang ditinggalkan lama di kawasan parkir akhirnya ditumpaskan polis.
Seramai empat suspek lelaki warga tempatan yang disyaki mendalangi kegiatan jenayah itu ditumpaskan polis dalam serbuan di sekitar Lembah Klang, menerusi Ops Khas Lejang baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pada 5 Disember lalu, pasukannya telah melakukan tangkapan pertama apabila menahan dua suspek di Cyberjaya.
“Bertindak atas tangkapan pertama dan berpandukan hasil soal siasat itu, polis melakukan satu lagi serbuan yang kemudian membawa kepada tangkapan dua lagi suspek secara berasingan pada 13 Disember di sekitar Klang dan Sepang.
“Pemeriksaan lanjut ke atas mereka berjaya membawa polis kepada rampasan sebanyak 23 komponen kenderaan seperti pintu, bonet dan bumper kereta, sebuah lori tunda dan tiga rangka kereta jenis Proton Satria, Gen-2 dan Wira.
“Siasatan polis mendapati suspek berkenaan merupakan pengurus bangunan, pemilik bengkel, pemilik premis barang lusuh dan pemandu trak tunda.
“Soal siasat suspek akhirnya mengaku terdapat enam kereta yang dicuri di sekitar Cyberjaya iaitu masing-masing dua Proton Gen-2, Proton Wira dan Proton Satria,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Tambah Wan Kamarul Azran, modus operandi sindiket itu menyasarkan kereta yang telah lama diletakkan di kawasan parkir dengan menunda ke bengkel untuk dileraikan komponennya.
Ujarnya, komponen kereta curi yang dileraikan itu kemudiannya akan dijual di kedai alat ganti kenderaan manakala rangka kereta ini akan dijual di kedai besi buruk untuk mengelak kegiatan itu dihidu pihak berkuasa.
“Siasatan awal mendapati geng berkenaan ini telah bergiat aktif melakukan curi kenderaan itu sejak dua bulan yang lalu.
“Kesemua suspek itu yang berusia 26 hingga 40 tahun kini direman untuk disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri,” tegasnya. – MalaysiaGazette