Firdaus Wong Wai Hung

KUALA LUMPUR – Seorang pendakwah menyifatkan zaman pemimpin DAP Gobind Singh Deo menjadi Menteri Komunikasi lebih terbuka berbanding sekarang.

Ini berikutan tindakan RTM membatalkan penyertaan pendakwah Dr. Ridhuan Tee dalam program Forum Perdana Ehwal Islam di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Seorang pendakwah bebas Firdaus Wong Wai Hung berkata, Gobind menerima kepelbagaian individu dari latar belakang politik, agama dan ideologi berbeza.

“Banyak polisi yang bagus dan seingat saya, beliau hanya masuk campur sedikit apabila mempertikaikan kenapa Bernama membatalkan temuramah Siti Kasim tetapi sebenarnya hanya dipinda tarikh dan tidak dibatalkan.

“Jikalau Siti Kasim dan lain lain yang mungkin ada pandangan dan pendapat mereka tidak dipersetujui juga boleh muncul di kaca TV.

“Apa pula alasan Dr Ridhuan Tee yang telah terlibat dalam Forum Perdana Hal Ehwal Islam sejak 1990an dibatalkan oleh Menteri Komunikasi?” tanya beliau.

Firdaus berkata, dia telah menghubungi Ridhuan dan mengesahkan bahawa namanya telah dikeluarkan dari program tersebut dan digantikan dengan panelis lain.

Beliau menegaskan, sekiranya ada pihak mengatakan Ridhuan menimbulkan kebencian agama dan kaum maka laporan polis atau saman perlu dibuat terhadap pendakwah tersebut.

Serentak itu beliau berkata, hak kebebasan bersuara perlu diberikan kepada semua pihak termasuk Ridhuan.

“Jikalau kita memperjuangkan hak kebebasan bersuara, ini bermakna kebebasan bersuara orang yang tidak setuju atau sealiran dengan kita juga perlu diberikan hak yang sama!

“Kebebasan bersuara tidak bermakna andai hanya orang yang sealiran dan sependapat dengan kita sahaja dibenarkan bersuara tetapi mereka yang nampak berbeza itu dinafikan hak. Pemimpin perlu walk the talk!

“Saya mendokong kebebasan bersuara dari semua pihak selagi tidak bercanggah dengan perlembagaan dan undang-undang negara,” katanya.

Media melaporkan, Ridhuan melahirkan rasa kesal apabila beliau disekat menjadi panel dalam program Forum Perdana Ehwal Islam.

Malah, Tokoh Maulidur Rasul dan Maal Hijrah itu juga menzahirkan rasa sedih apabila rancangan bual bicara popular setiap Khamis turut dibatalkan kerana ada penampilan dirinya.

Forum tersebut dijadualkan pada 9 malam Khamis lalu dan turut membariskan seorang lagi panel, Datuk Mohd. Kazim Elias dengan dua moderator terkenal, Ustaz Nabil Ahmad dan Rizal Ramli.

Ia sepatutnya disiarkan secara langsung dari Auditorium Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad di Kelana Jaya, Selangor dengan tajaan oleh Bank Islam Malaysia Berhad.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Dah parah ni, dulu mereka saban hari melaungkan hak kebebasan bersuara, kini menyekat2 tik tok pula? Apa sudah jadi dgn kerajaan minoriti PH 11% ni?

Comments are closed.