Nik Nazmi Nik Ahmad

HULU SELANGOR – Terdapat kemungkinan berlaku risiko runtuhan susulan di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Goh Tong di sini pada bila-bila masa.

Amaran itu diberikan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan pihaknya telah mengarahkan JMG untuk mengenal pasti zon bahaya di ladang tersebut.

“Saya telah arahkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk kenal pasti kawasan zon bahaya dan kawalan. Risiko runtuhan susulan mungkin ada tapi kita perlu tunggu maklumat lanjut daripada agensi berkaitan dalam membantu operasi SAR,” katanya pada sidang media hari ini.

Jelas beliau, terdapat kegagalan cerun tambakan di lokasi kejadian hasil daripada cerapan awal.

Ia membabitkan dimensi runtuhan sekitar 500 meter (m) dan kelebaran 200m serta kedalaman 8m dengan isi padu runtuhan 450,000 meter padu (m³).

Rentetan itu, Nik Nazmi menasihatkan semua pihak untuk sentiasa berwaspada dengan lokasi yang dilaporkan bahaya termasuk bakal menutup beberapa kawasan jika perlu.

Selain itu, beliau memberi peringatan kepada orang ramai agar mengelak untuk mengunjungi kawasan berisiko mengalami bencana geologi termasuk ancaman tanah runtuh.

Setakat pukul 2 petang tadi, lima lagi jasad mangsa yang terkorban dalam tragedi berkenaan berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat.

Perkembangan terkini itu menjadikan sehingga kini 16 mangsa maut dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul  2 pagi tadi. – MalaysiaGazette