Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek selepas bertemu ahli keluarga mangsa tanah runtuh di Hospital Sungai Buloh, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 17 DISEMBER 2022.

SUNGAI BULOH – Sembilan kaunselor Kementerian Pendidikan ditempatkan di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh bagi memberi sokongan moral kepada waris mangsa tragedi tanah runtuh.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, daripada sembilan kaunselor, tiga orang akan bertugas dalam satu sesi setiap hari.

“Seperti yang saya maklumkan semalam bahwa KPM akan menawarkan sokongan psikososial kepada keluarga dan juga waris mangsa dan hari ini saya boleh sahkan kita telah pun bertugas.

“Kita ada tiga sesi (shif)  dengan setiap sesi seramai tiga orang.

“Jadi kaunselor ini akan terus bertugas dan Alhamdulillah kita juga dapat sokongan daripada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak hospital,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan khidmat kaunselor KPM di hospital berkenaan.

Menurut Fadhlina, sokongan moral pada waktu ini amat penting memandangkan waris-waris mangsa tanah runtuh sedang berhadapan kesukaran dan diselubungi kesedihan.

Dalam masa yang sama beliau sekali lagi menyebut keutamaan untuk memberi ruang kepada waris mangsa pada waktu ini.

“Ketika ini proses untuk mereka hadapi sangat sukar dan jadi beri ruang bagi mereka. Saya minta itu sahaja.

“Mereka juga perlukan sokongan dari rakyat Malaysia untuk  mendoakan agar proses ini dipermudahkan,” tambah beliau.

Sementara itu, Fadhlina berkata, status sesi persekolahan bagi guru-guru  yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh akan dimaklumkan pada masa akan datang.

Sehingga ini dilaporkan, guru dan pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong antara mangsa kejadian tanah runtuh yang berlaku awal pagi semalam.

Dilaporkan seramai tujuh guru wanita sekolah berkenaan mengadakan aktiviti perkhemahan anjuran peribadi di Batang Kali, sejak Rabu lalu yang turut disertai rakan dan keluarga.

Sehingga kini seramai 12 mangsa masih hilang, 21 maut dan 61 orang terselamat.-MalaysiaGazette