Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan susulan ketidaktentuan pasaran yang masih berterusan di rantau ini.

Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka diniagakan tidak berubah dalam jajaran 1,470-1,490, kata seorang penganalisis.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata para pelabur masih terus mengambil pendekatan berhati-hati kerana kenaikan kadar faedah yang agresif oleh bank-bank pusat dunia akan menyebabkan ekonomi global terjerumus ke dalam kemelesetan tahun depan.

Pada Rabu, pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) Jerome Powell menimbang untuk menaikkan lagi kadar bagi menangani inflasi selepas bank pusat Amerika Syarikt (AS) itu menaikkan kadar faedahnnya kepada 4.5 peratus.

“Kami merasakan sentimen pelabur akan kekal tidak menentu buat masa ini berikutan faktor-faktor luaran seeprti peningkatan risiko pasaran dan kemeruapan di pasaran global di tengah-tengah inflasi tinggi di AS,” katanya kepada Bernama.

Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes yang turut berkongsi pandangan yang sama berkata para pelabur memantau rapat pergerakan semalaman untuk mencari petunjuk menuju ke tahun baharu.

“Dengan data ekonomi global yang melepasi jangkaan, para pelabur dijangka mengalihkan tumpuan mereka daripada inflasi dan Fed kepada peningkatan impak daripada langkah Fed itu ke atas ekonomi,” katanya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, indeks utama meningkat 1.35 mata kepada 1,478.54 daripada 1,477.19 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 0.2 mata kepada 10,607.21, Indeks FBMT 100 naik 3.44 mata kepada 10,312.29, FBM 70 berkurangan 19.56 mata kepada 12,926.66, Indeks FBM Emas Shariah turun 39.75 mata kepada 10,748.42 dan FBM ACE jatuh 55.56 mata kepada 5,461.94.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.33 mata kepada 181.26, Indeks Perladangan meningkat 310.05 mata kepada 7,037.93, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah  68.46 mata kepada 16,563.50 dan Indeks Tenaga menokok 13.41 mata kepada 791.31.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada 13.59 bilion unit bernilai RM9.41 bilion daripada 18.68 bilion unit bernilai RM10.65 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 8.33 bilion saham bernilai RM7.68 bilion daripada 11.73 bilion saham bernilai RM8.51 bilion.

Jumlah dagangan waran jatuh kepada 1.47 bilion unit bernilai RM315.35 juta daripada 1.77 bilion unit bernilai RM373.42 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menguncup kepada 3.78 bilion saham bernilai RM1.41 bilion daripada 5.18 bilion saham bernilai RM1.76 bilion. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast