Dayangku Intan Pas
Dayangku Intan bercakap kepada media selepas majlis penyerahan borang keahlian Pas di Kampung Rawa, Lenggeng, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 17 DISEMBER 2022.

SEREMBAN – Penyanyi popular era 1990-an, Dayangku Intan kini memilih untuk bersama Pas bagi menyambung semula perjuangannya dalam bidang politik.

Menurut Dayangku Intan, Pas bukan asing baginya kerana beliau pernah berkongsi pentas dengan pemimpin-pemimpin parti itu pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“Sebelum ini, ramai muslimat Pas menjemput saya untuk bersama mereka tetapi saya ingat biarlah saya menjadi penceramah bebas dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin di Kampung Rawa, Lenggeng di sini, hari ini.

Dayangku Intan turut menyatakan kesediaannya untuk membantu Pas dari segi memberi ceramah terutamanya semasa kempen pilihan raya.

“Pas tak ada janji apa-apa dan saya juga tidak akan minta apa-apa,” jelasnya sambil menolak kemungkinan menjadi calon pada pilihan raya negeri tahun depan.

Untuk rekod, Dayangku Intan atau nama sebenarnya, Tengku Intan Tengku Abdul Hamid pernah bertanding pada PRU-13 sebagai calon PKR bagi kerusi Parlimen Pengerang.

Walau bagaimanapun, penyanyi yang popular dengan lagu ‘Semakin Rindu Semakin Sayang’ itu tewas kepada Datuk Seri Azalina Othman Said yang menyandang kerusi tersebut.

Beliau mengundur diri dari politik pada 2015 dan keluar dari PKR tiga tahun kemudian. – MalaysiaGazette