Temubual bersama calon Pakatan Harapan P.089 Bentong, Young Syefura Othman ketika mengadakan pertemuan dengan ahli Kelab Pancing Kampung Lengkong sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Karak, Pahang.Foto HAZROL ZAINAL, 13 NOVEMBER 2022.

KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang digesa segera menyemak semula setiap projek di kawasan cerun berbukit yang mempunyai risiko tanah runtuh. 

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan tragedi tanah runtuh yang melibatkan kemalangan jiwa.

“Langkah-langkah keselamatan perlu dititik berat dan menjadi keutamaan lebih-lebih lagi ketika kini negara kita sedang mengalami musim tengkujuh.

“Oleh itu, setiap agensi atau jabatan berkaitan mesti mengadakan pemeriksaan di setiap tapak projek di kawasan cerun berbukit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengambil kira tragedi tanah runtuh di Jalan Batang Kali – Genting Highlands semalam, Young Syefura turut menyeru pengusaha  tempat percutian yang terletak di kawasan berisiko tanah runtuh agar peka dengan keadaan di sekeliling kawasan percutian milik mereka.

“Saya mohon agar pengusaha bertanggungjawab dalam memastikan tiada rekahan atau tanda-tanda awal pergerakan tanah di kawasan sekeliling tempat percutian milik mereka dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat kesan-kesan rekahan di kawasan mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menggesa pihak Jabatan Kerja Raya segera membaik pulih Jalan Batang Kali – Genting Highlands yang telah lama ditutup ekoran proses pembaikan.

Menurut Young Syefura, laluan alternatif yang dicadangkan kepada penduduk agak jauh dan mengambil masa yang panjang serta menelan kos yang tinggi.

Tambah beliau, esok genap setahun tragedi banjir besar melanda negeri Pahang yang telah mengorbankan nyawa serta kerosakan harta.

“Saya berdoa agar negeri Pahang dan setiap pelusuk negara sentiasa berada di dalam lindungan-Nya dan tiada tragedi atau bencana melanda yang boleh menyebabkan kemalangan jiwa,” kata Young Syefura.- MalaysiaGazette