BATANG KALI — Seorang lagi kanak-kanak perempuan disahkan terkorban dalam tragedi runtuhan tanah di Father’s Organic Farm, di Jalan Batang Kali – Genting Highland, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ia sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang maut adalah seramai 24 orang.

“Terkini kita jumpa lagi mangsa, seorang kanak-kanak yang menjadikan angka terkorban 24 orang.

“Kita akan hantar jasad ke Hospital Sungai Buloh untuk urusan selanjutnya,” katanya ringkas ketika ditemui wartawan selepas mendapat perkembangan terkini di sini.

Jelas beliau, mangsa terbabit ditemui di sektor A Hill View pada 4.05 petang tadi.

Sebelum ini media melaporkan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, petugas SAR akan memfokuskan di sekitar sektor A Hill View selepas menemukan dua mangsa korban yang dipercayai ibu dan anak.

Setakat ini, 24 orang dilaporkan meninggal dunia yang terdiri daripada lima kanak-kanak (lelaki), dua kanak-kanak (perempuan), 13 dewasa (wanita) dan empat dewasa (lelaki).

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dijalankan bagi mengesan sembilan lagi mangsa yang masih belum ditemui.

Kini dianggarkan seramai 128 orang anggota terlibat dengan operasi SAR mangsa korban tanah runtuh sejak pagi semalam. – MalaysiaGazette