SUNGAI BULOH – Salah seorang waris mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali tidak dapat menahan emosinya sebaik sahaja tiba di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh, hari ini.
Warga emas berkenaan dipimpin oleh seorang wanita kelihatan menangis teresak-esak sambil berjalan memasuki ruangan jabatan itu, disaksikan para pengamal media yang berkampung di kawasan tersebut.
Walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali sudah melebihi 24 jam jam, namun waris masih berharap ahli keluarga mereka ditemui dalam keadaan selamat.
Perkara berkenaan disuarakan oleh Sukarelawan Yayasan Buddhist Tzu Chi, Tan Chee Wei, 50, ketika ditemui sebentar tadi.
“Memang mereka (waris mangsa) masih lagi berharap (selamat) walaupun ada diantaranya sudah memberikan data asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenalpasti mangsa,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu Tan berkata, pihaknya berada di hospital berkenaan untuk memberikan sokongan moral kepada keluarga mangsa.
“Peranan kami untuk beri sokongan kepada waris, sediakan makanan serta menemani mereka untuk jalankan beberapa prosedur yang diminta.
“Sebab kami rasakan ketika ini waris ini sangat memerlukan sokongan mental kerana untuk bantuan kaunseling pihak hospital sudah sediakan,” tambahnya.
Menurut beliau, seramai 50 sukarelawan ditempatkan di beberapa lokasi sejak semalam, termasuk di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Selayang dan Balai Polis Ulu Yam Bahru.
“Kami akan berada di tempat ini sehingga selesai, terdapat tiga shif iaitu dari awal pagi sehingga tengah malam,” tambah beliau.
Setakat jam 7.10 malam pada Jumaat, seramai 21 mangsa terkorban dalam tragedi yang berlaku kira-kira 2.30 pagi semalam, sementara 12 lagi masih belum ditemukan.-MalaysiaGazette