Dr. Maximus Ongkili

KOTA KINABALU – Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menggugurkan keanggotaan Bersatu sebagai ahli badan gabungan dalam mesyuarat AMT parti itu pada 9 Disember lepas, kata Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Ongkili, yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah berkata, pada mesyuarat yang dipengerusikannya itu, AMT GRS turut membuat keputusan untuk mengekalkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Pengerusi GRS.

“Mesyuarat tersebut juga memutuskan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan atas komitmen membina kerajaan yang stabil demi kepentingan kesejahteraan rakyat dan pembangunan tanah air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau berkata, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Seri Dr Ronald Kiandee atau Bersatu tidak ada hubungan dengan perjanjian persefahaman kerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan  yang prinsip dan matlamatnya telah ditolak oleh Bersatu.

Semalam, Ronald mendakwa perjanjian persefahaman kerjasama ditandatangani GRS adalah tidak sah, kerana Bersatu sebagai ahli GRS tidak pernah terlibat dalam sebarang perbincangan untuk menyertai perjanjian itu.

Jumaat lepas lima gabungan parti politik utama iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), GRS dan Parti Warisan (Warisan) menandatangani perjanjian persefahaman di Putrajaya bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun memeterai perjanjian itu bagi pihak GRS manakala Hajiji menandatangani perjanjian itu sebagai saksi bagi pihak GRS. – Bernama