Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) serta ketua-ketua parti lain bergambar selepas Menandatangani Permuafakatan Antara Gabungan Di Bawah Kerajaan Perpaduan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. Foto PEJABAT PERDANA MENTERI, 16 DISEMBER 2022

Kenyataan ini dibuat sebagai respon kepada artikel yang diterbitkan pada 17.12.2022 di Free Malaysia Today berjudul “MPs who vote against govt deemed to have resigned ,says MoU” yang mana kenyataan ini dikeluarkan atas kapasiti saya sebagai seorang peguam dan Ahli Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN).

Dalam artikel itu, ianya dinyatakan bahawa salah satu terma yang terkandung di dalam Memorandum Persefahaman (MoU) adalah, “setiap parti dalam kerajaan perpaduan mesti memastikan Ahli Parlimen mereka menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pentadbirannya dalam sebarang usul atau rang undang-undang kepercayaan di Dewan Rakyat.

Sekiranya mana-mana Ahli Parlimen yang gagal mengikut pendirian yang ditetapkan oleh partinya, tindakan tersebut akan menyebabkan kerusi wakil itu dikosongkan selaras dengan Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.

Majlis Tertinggi BN pada 22 November lepas telah membuat keputusan secara jelas bahawa BN tidak akan menyokong sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) sebaliknya membuat ketetapan untuk menjadi pembangkang di Parlimen kali ini. Sejurus selepas itu, Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong (YDPA) telah menitahkan agar 30 Ahli Parlimen BN secara individu untuk hadir ke Istana pada 23 November lepas untuk menilai sendiri siapa yang mereka sokong untuk membentuk kerajaan.

Namun pada mesyuarat Majlis Tertinggi BN tarikh sama yang berlangsung hingga larut malam, beberapa Ahli Parlimen UMNO menyatakan bahawa mereka belum bersedia untuk bertemu dengan YDPA & memohon lanjutan masa untuk membuat pertimbangan memandangkan tiada lagi pertemuan antara PN dan BN untuk menilai syarat syarat yang ditawarkan oleh PN.

Oleh yang demikian, ianya dipersetujui bahawa Pengerusi BN, Timbalan Pengerusi BN dan Perdana Menteri Interim ketika itu hadir di Istana pada keesokan harinya untuk memohon lanjutan masa untuk BN daripada YDPA untuk mempertimbangkan pilihan mereka. Hari berikutnya Pengerusi BN, Timbalan Pengerusi BN dan Setiausaha Agung BN menghadiri mesyuarat Istana, dan apa yang sebenarnya berlaku di Istana masih menjadi misteri sehingga hari ini.

Sejurus selepas itu tidak ada mesyuarat Majlis Tertinggi BN dipanggil untuk membincangkan mesyuarat Istana pada 23 November lepas sehingga hari ini. Apa yang saya sedia maklum selepas itu ialah kenyataan Pengerusi BN di media bahawa YDP Agong telah meminta BN menyertai kerajaan perpaduan dan parti komponen dalam BN termasuk Malaysian Indian Congress (MIC) telah bersetuju untuk menyokong kerajaan perpaduan ini menghormati  titah Raja-raja.

Saya berpendapat bahawa ianya dinyatakan secara jelas di bawah Perlembagaan BN, Pengerusi Barisan Nasional tidak boleh dan tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan yang berkaitan dengan Ahli Parlimen BN secara fiat & tanpa berunding dengan parti komponen dalam BN. Apa yang merunsingkan di sini adalah bahawa dari 22 November sehingga hari ini, tiada mesyuarat Majlis Tertinggi BN di panggil. Oleh itu syarat-syarat MoU yang ditandatangani hari ini tidak pernah dibincangkan mahupun dipersetujui oleh Majlis Tertinggi BN. Ini juga terpakai kepada Akuan Berkanun (SD) yang kononnya ditandatangani oleh Ahli Parlimen BN sebelum Pilihan Raya Umum, SD tidak pernah disahkan & diluluskan oleh Majlis Tertinggi BN. Lebih-lebih lagi,  saya juga percaya bahawa tidak semua Ahli PArlimen BN telah menandatangani SD.

Saya membangkitkan isu SD di sini sekiranya terdapat hujah balas bahawa Pengerusi BN telah diberikan kuasa tanpa had di bawah SD tersebut. Sekali lagi seperti yang saya nyatakan sebelum ini, SD tidak pernah disahkan oleh Majlis Tertinggi BN & sehingga hari ini, saya tidak percaya mana-mana MP atau parti komponen BN (mungkin kecuali UMNO), diberi salinan SD yang dimiliki oleh Ahli Parlimen. Oleh itu, persoalan penting yang ingin saya tanya bagaimanakah Pengerusi BN bertindak melaksanakan MoU tanpa mendapat kelulusan Majlis Tertinggi? Selain itu, saya berpandangan parti komponen mahupun ahli Majlis Tertinggi tidak diberikan salinan MoU untuk di lihat sendiri, semak atau memberi pandangan berhubung syarat-syarat perjanjian itu.

Jelaslah MoU itu tidak boleh sesekali mengikat mana-mana Ahli Parlimen sekiranya Majlis Tertinggi BN tidak terlebih dahulu mengesahkan perjanjian tersebut.

Adalah agak dangkal untuk  mana-mana Ahli Parlimen untuk mengikat diri mereka dengan kerajaan ini tanpa terlebih dahulu mengambil kira kepentingan terbaik pengundi mereka. Bagaimanapun apakah akan terjadi sekiranya dasar kerajaan hari ini tidak selaras dengan objektif dan prinsip setiap parti komponen dalam BN? Sekiranya setiap Ahli Parlimen tidak diberi kuasa memutuskan apa-apa dasar dan undang-undang tertentu, ianya seolah olah mengikat MP daripada membuat kebaikan kepada pengundi mereka.

Lagipun, mereka dilihat sebagai terpaksa menyokong kerajaan hari ini tanpa ambil kira implikasi polisi kerajaan hari ini kepada rakyat kerana sekiranya mereka engkar, mereka akan hilang kerusi mereka. Saya percaya ini bukan objektif undang-undang Akta Lompat Parti yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu.

Undang-undang Anti Lompat diwujudkan untuk menghalang mana-mana Ahli Parlimen daripada melompat parti selepas di pilih. Undang-undang ini tidak sama sekali digunakan sebagai alat untuk memaksa Ahli Parlimen untuk menyokong kerajaan tanpa syarat. Kerana itu, MoU ini dilihat sebagai satu cara untuk merampas suara dan hak ahli parlimen yang dipilih mengikut proses demokrasi.

Kesimpulannya, saya percaya bahawa MoU itu adalah tidak sah dan harus diabaikan kerana tindakan itu memalukan Parlimen yang dipilih secara demokrasi & akan menjatuhkan integriti Malaysia di mata dunia.

Satu perbezaan ketara yang boleh kita lihat di antara perjanjian yang dibuat oleh kerajaan dengan pembangkang sebelum ini dan MoU ini adalah tidak ada terma memaksa Ahli Parlimen untuk menyokong tanpa syarat dan memberi kuasa prerogatif kepada ahli parlimen itu sendiri.

Setiausaha Agung MIC, RT Rajasekaran

RT Rajasekaran

(Peguam dan Ahli Majlis Tertinggi BN)

2 Komen

  1. Tatalaku atau persefahaman mengugut, memaksa, mengikat seseorang yg menjurus kepada pemerintahan kuku besi @komunis yg berselindung dibawah nama demokrasi? Hormatilah hak rakyat yg telah mengundi secara bebas!

  2. kenapa kamu sokong akta lompat parti ? . kenapa tidak tentang sampai darah terakhir . demi kebebasan menyokong pengkhianat negara atas nama kebabasan . nama islam tapi kerja mengkhianat amanah rakyat dan negara . sah ke sembahyang orang islam yang masih melakukan kemungkaran . orang bercakap tentang iman tak semestinya dia ada iman .

Comments are closed.