Rafizi Ramli.- Foto HAZROL ZAINAL, 28 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Perjanjian persefahaman (MoU) parti-parti politik Kerajaan Perpaduan Malaysia lebih demokratik berbanding pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Ekonomi,  Rafizi Ramli mendakwa, Muhyiddin telah menggunakan kuasa darurat untuk memerintah tanpa cuba mengesahkan sokongan majoriti di Parlimen.

“Sebab itu saya agak lawak apabila satu-satu reaksi daripada pertikaian PN adalah konon ini langkah berbahaya ke arah wujud diktaktor di bawah perdana menteri kesepuluh.

“Satu-satunya perdana menteri yang ada rekod menggunakan kuasa darurat untuk memerintah dan kekal berkuasa dalam keadaan aman dalam sejarah negara kita ialah Muhyiddin,” kata Rafizi.

Rafizi mengulas serangan pemimpin PN terhadap perjanjian yang ditandatangani oleh pemimpin dari empat parti semalam.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin misalnya dalam kenyataan menyebut perjanjian persefahaman berkenaan adalah haram, berbahaya dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Menurut Rafizi, 148 ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan Malaysia bebas untuk mengundi mengikut kepakaran dan pandangan masing-masing.

Bagaimanapun melalui perjanjian yang ditandatangani, ahli Parlimen terbabit tidak bebas membuat pengundian dalam perkara yang bersabit keabsahan kerajaan seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan dan anti lompat parti.

“Itu memang undang-undang pun. Selalunya ada bentuk undi di Parlimen yang bersabit keabsahan kerajaan, pertama ada usul undi tidak percaya kepada PM ,yang kedua dalam bentuk undian kepada bajet tahunan yang dibuat

“Selain daripada dua undi itu sebenarnya Ahli Parlimen bebas mengikut pandangan masing-masing dan itu tidak tertakluk kepada Fasal 4 Perjanjian.

“Ini jauh lebih demokratik berbanding keadaan sebelum ini semasa Muhyiddin, PN berkuasa,” kata Rafizi dalam kenyataan hari ini.

Rafizi berkata, perjanjian itu juga mahu menyelamatkan negara daripada terus dikuasai katak-katak politik.

Menurut Timbalan Presiden PKR itu, PN cuba mewujudkan katak politik selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) apabila cuba menarik sokongan 10 ahli Parlimen BN tanpa persetujuan parti.

“Budaya menggunakan katak-katak politik untuk membentuk kerajaan ini dimulakan oleh Muhyiddin dan Abdul Hadi ketika langkah Sheraton dulu.

“Kita ingat dengan adanya akta lompat parti mereka sudah serik dan perkara ini tidak akan berulang.

“Rupanya-rupanya tidak. Sebaik keluar keputusan PRU15 PN cuba menculik 10 ahli Parlimen BN untuk menyokong Muhyiddin jadi PM tanpa persetujuan BN,” katanya.

Sebelum ini Mas Ermieyati mendakwa Klausa 4 perjanjian parti-parti politik Kerajaan Perpaduan Malaysia adalah berbahaya dan tidak sah dilaksanakan.

“Klausa itu menyatakan kesemua ahli Parlimen wajib menyokong Anwar dalam mana-mana usul kepercayaan atau rang undang-undang bekalan atau mana-mana usul berkaitan kepercayaan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional.

“Menurut Klausa 4(b) pula, sekiranya mana-mana ahli Parlimen kerajaan yang gagal mengundi sebagaimana yang telah diarah, mereka akan dianggap telah mengosongkan kerusi Parlimen mereka berdasarkan Artikel 49A Perlembagaan Persekutuan,” kata bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. RAFIZI MUNAFIK diangkat jadi MP dan MENTERI….SAYA ORANG PERTAMA akan TENTANG KERJASAMA UMNO dan P akatan H ancing AKHIRNYA semua diJUBURI JANJI

    saya ada FORMULA AJAIB untuk HAPUSKAN TOL/PTPTN/PETROL MURAH/HARGA KERETA DAN BARANG
    SAYA JUGA SOKONG DAN SETUJU mereka yang KALAH /TIDAK BERTANDING mengisi jawatan2 Mneteri/tim menteri/pengerusi GLC

Comments are closed.