KUALA LUMPUR – Gabungan Gerakan Keadilan Najib Razak menggesa Datuk Seri Azalina Othman memanggil dan memeriksa kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang salah laku Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Jurucakapnya, Datuk Lokman Noor Adam berkata, pihaknya percaya salah laku ini berkaitan dengan kedududukan beliau selaku hakim dalam kes SRC International yang melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Kami percaya bahawa salah laku ini juga mempunyai elemen-elemen konflik berkepentingan.
“Kami percaya Hakim Datuk Mohd Nazlan juga sedar akan diri beliau mempunyai konflik kepentingan.
“Beliau tidak sepatutnya menjadi hakim dalam mengendalikan kes SRC ini,” katanya pada sidang media di luar pekarangan bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
Lokman mendakwa, tindakan Nazlan yang menyembunyikan serta tidak menzahirkan konflik tersebut memberi gambaran bahawa beliau berniat jahat dan tidak akan berlaku adil terhadap Najib.
“Kami juga percaya hasil siasatan oleh pihak SPRM juga mendedahkan bahawa Hakim Nazlan boleh didakwa di bawah Seksyen 220 Kanun Keseksaan.
“Nazlan dipercayai tidak bercakap benar semasa rakaman percakapan pemeriksaan beliau dan hanya membetulkan fakta sebenarnya selepas beliau bersemuka dengan dokumen yang menunjukkan situasi yang sebenar.
“Ini menjadi kesalahan di bawah seksyen 191 Kanun Keseksaan dan Seksyen 27 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya.
Lokman tidak menolak kemungkinan Nazlan melanggar Peraturan 8 (1)(a) Kod Etika Hakim 2009 P.U (B) 201.
“Seorang hakim hendaklah memastikan bahawa semua aktiviti luar kehakimannya tidak menimbulkan keraguan munasabah tentang keupayaan bertindak dengan saksama sebagai seorang hakim.
“Perkara 8 (1) hingga 8 (10) Kod Etika Hakim 2009 telah menetapkan satu garis panduan sangat ketat yang perlu dipatuhi oleh seseorang hakim.
“Jika terdapat sebarang percanggahan atau kepentingan maka ianya perlu diisytiharkan, kod etika ini adalah terikat dengan Fasal 4 Perkara 125 (3)(b) Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.
Lokman juga percaya bahawa Najib telah dizalimi serta tindakan mendakwa dan menghukum beliau adalah sesuatu yang telah dirancang.
“Kami mohon Yang Berhormat Dato Sri untuk memastikan supaya tindakan-tindakan dan cadangan-cadangan kertas siasatan SPRM terhadap Hakim Nazlan dilaksanakan dengan kadar segera oleh pihak Peguam Negara.
“Kami juga memohon supaya hasil siasatan itu didedahkan kepada umum supaya tindakan susulan pihak berkuasa selepas ini tidak dilihat memihak kepada mana-mana pihak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette