Anggota bomba melakarkan lokasi kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm Batang Kali, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 DISEMBER 2022.

HULU SELANGOR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menafikan telah memberi kebenaran kepada individu atau mana-mana sukarelawan untuk memasuki kawasan operasi tanah runtuh dan mengambil gambar operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang masih hilang.

Pusat Gerakan Operasi berkata, pihaknya telah terkesan penularan gambar sekumpulan sukarelaawan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang telah memasuki tapak bencana tanah runtuh di Tapak Perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya.

“Siasatan mendapati kumpulan itu mendakwa mereka diberi kebenaran oleh pihak berkuasa untuk membantu operasi SAR mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan tanah di lokasi insiden.

“JBPM Selangor menafikan sekeras-kerasnya ada memberi sebarang kebenaran dalam apa jua bentuk kepada mana-mana pasukan sukarelawan awam atau individu untuk menyertai operasi kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ini selaras dengan arahan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu hanya anggota dan agensi menyelamat yang terlatih sahaja dibenarkan berada di kawasan operasi zon merah.

Anggota dan agensi yang dimaksudkan adalah JBPM,, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Aspek utama yang diambil kira untuk anggota terlibat adalah aspek keselamatan, kemahiran dan kecergasan dengan keadaan semasa struktur tanah kawasan bencana dalam keadaan lembut, dan jika hujan, berkemungkinan akan berlaku lagi runtuhan atau gelinciran tanah di kawasan runtuhan itu.

“Keadaan ini memerlukan kepekaaan dan latihan khusus serta kesediaan kita menghadapi situasi sukar dan tidak dijangka dan oleh sebab itu kemahiran anggota diperlukan selain mempunyai kecergasan fizikal yang baik untuk berada di sini bagi membantu mencari mangsa yang masih hilang,” tegasnya.